PAS tolak gabungan politik dianggotai DAP, PKR

7 JAN: PAS menegaskan pendirian bahawa parti itu tidak akan menerima gabungan politik yang dianggotai oleh DAP dan PKR.

Memetik laporan Harakahdaily, Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, jajaran baharu politik negara yang digembar-gemburkan oleh pihak tertentu sukar untuk direalisasikan.

Pada masa yang sama, beliau berpandangan, parti-parti yang mendukung kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu mengukuhkan perpaduan dan kerjasama sesama mereka.

“Penyatuan sedia ada termasuk PN dan Muafakat Nasional (MN) sudah menjadi pelengkap bagi mengurus pentadbiran negara seperti yang dianjurkan Islam.

“Kita tidak boleh berpegang dengan pandangan politik yang sempit berasaskan kemarahan dan dendam. Ia akan merosakkan pentadbiran negara.

“Saya khuatir sejarah hitam 22 bulan di era lepas berulang lagi,” katanya selepas majlis penyampaian bantuan awal persekolahan 2021 peringkat Parlimen Pasir Puteh di Dewan Penggawa Daerah Semerak, Pasir Puteh hari ini.

Majlis Tertinggi UMNO yang mengadakan mesyuarat malam tadi memutuskan soal kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan dibincangkan dalam perhimpunan agung parti itu hujung bulan ini.

Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU malam tadi pula memutuskan untuk tetap mempertahan kerjasama politik dalam kerajaan PN.

Nik Muhammad Zawawi yang juga Ahli Parlimen Pasir Puteh menambah, semua ahli politik perlu tunduk kepada arahan Allah dalam menguruskan amanah mentadbir negara.

“Kita perlu bersatu padu, kita akan kuat. Saya berharap semua rakan sama ada dalam PAS, UMNO dan BERSATU perlu saling menghormati dan tidak mengeluarkan kenyataan sensitif yang boleh merenggangkan hubungan,” jelasnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.