Nilai dagangan sektor agrikomoditi hampir RM170b

129

7 JAN: Prestasi perdagangan sektor agrikomoditi 2020 sehingga November lalu telah mencatatkan nilai dagangan sebanyak RM169.2 bilion, meningkat sebanyak 10.6 peratus berbanding RM153 bilion yang direkodkan pada tahun 2019.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, sepanjang tempoh itu, pendapatan eksport produk agrikomoditi adalah sebanyak RM133.2 bilion atau 15.1 peratus daripada keseluruhan pendapatan eksport negara, berkembang positif sepanjang tempoh Januari hingga November 2020.

Menurut beliau, nilai itu meningkat sebanyak 13.6 peratus berbanding RM117.2 bilion yang direkodkan bagi tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

“Peningkatan ini disebabkan oleh kenaikan harga agrikomoditi utama iaitu harga purata minyak sawit mentah (MSM) serta peningkatan yang ketara pada permintaan produk-produk berasaskan getah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Khairuddin memberitahu, produk berasaskan sawit yang merupakan penyumbang terbesar iaitu sebanyak 48.6 peratus daripada jumlah eksport barangan agrikomoditi, mencatatkan peningkatan sebanyak 4.8 peratus kepada RM64.8 bilion.

Namun katanya, kuantiti eksport produk berasaskan sawit mencatatkan penurunan sebanyak 10.7 peratus kepada 23.9 juta tan.

“Pandemik COVID-19 telah memberikan kesan kepada pengeluaran eksport minyak sawit bukan sahaja di Malaysia malah kepada semua negara pengeluar minyak sawit dunia.

“Melalui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan yang bermula secara berperingkat pada 18 Mac hingga 31 Ogos 2020 seterusnya Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) telah memberikan kesan secara langsung kepada eksport minyak sawit dan produk berasaskan komoditi itu,” jelasnya.

Beliau menambah, pengecualian 100 peratus duti eksport bermula 1 Julai hingga 31 Disember 2020 yang diumumkan oleh kerajaan pada 5 Jun tahun lalu, telah mendorong permintaan dunia ke atas minyak sawit dan produk-produknya.

Selain itu, katanya, kesan pengurangan duti import sebanyak 5 peratus di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-India (AIFTA) mulai 1 Januari 2020 merangsang kembali eksport minyak sawit Malaysia ke India.

“Bagi produk getah yang menyumbang sebanyak 32 peratus kepada keseluruhan eksport barangan agrikomoditi telah meningkat sebanyak 50.5 peratus kepada RM42.6 bilion bagi tempoh yang sama.

“Peningkatan ini adalah disebabkan oleh nilai eksport produk berasaskan lateks terutama sarung tangan getah yang telah merekodkan kenaikan ketara iaitu sebanyak 92.4 peratus kepada RM30.6 bilion berbanding RM15.9 bilion bagi tempoh yang sama pada tahun 2019.

“Kuantiti eksport bagi sarung tangan getah turut mencatatkan peningkatan iaitu sebanyak 28 peratus kepada 914,000 tan berbanding 714,000 tan bagi tempoh yang sama pada tahun sebelumnya,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Khairuddin berkata, produk berasaskan kayu-kayan telah menyumbang sebanyak 14.9 peratus kepada eksport barangan komoditi manakala nilai eksportnya menurun sebanyak 3.3 peratus kepada RM19.8 bilion.

Menurut beliau, eksport produk koko turut mencatatkan penurunan kepada RM5.6 bilion iaitu pengurangan sebanyak 6 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Senario itu turut membabitkan produk lada yang mengalami situasi sama iaitu menurun sebanyak 18.5 peratus kepada RM109 juta berbanding tahun 2019,” jelasnya.

Tambah Mohd Khairuddin, antara pasaran utama bagi eksport produk agrikomoditi negara seperti Amerika Syarikat (AS), ia menunjukkan peningkatan sebanyak 46.9 peratus kepada RM21.8 bilion dengan sarung tangan getah mencatatkan peratusan tertinggi sebanyak 73.6 peratus kepada RM10.2 bilion.

“Eksport produk-produk agrikomoditi ke China pula meningkat sebanyak 18.1 peratus kepada RM18.3 bilion. Nilai dan kuantiti eksport minyak sawit mencatatkan kenaikan masing-masing sebanyak 49.2 peratus dan 17.8 peratus kepada RM6.4 bilion dan 2.4 juta tan.

“Justeru, berdasarkan prestasi perdagangan sektor agrikomoditi sehingga November 2020, kementerian yakin prestasi perdagangan sepanjang tahun 2020 adalah lebih baik berbanding tahun 2019 dan percaya momentum ini akan berterusan serta kekal positif bagi tahun 2021,” katanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.