Kerajaan Kedah pertingkat penguatkuasaan SOP Feri Langkawi

20

7 JAN : Kerajaan negeri Kedah akan mempertingkatkan penguatkuasaan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam perkhidmatan feri ke Langkawi bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri memandang serius perkara itu kerana didapati ada pengguna perkhidmatan feri tidak mengikut SOP, antaranya, menanggalkan pelitup muka semasa berada dalam feri.

Jelasnya, Kementerian Pengangkutan telah keluarkan SOP bagi perkhidmatan pengangkutan awam, jadi perkara itu perlu dikuatkuasakan. 

“Masalahnya ialah apabila tiada penguatkuasa yang memantau SOP dalam feri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Perhimpunan Pagi Penjawat Awam di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Sementara itu, kata beliau lagi, data Jabatan Kesihatan Negeri Kedah juga mendapati berlakunya peningkatan kes COVID-19 di negeri ini selepas pergerakan merentas negeri dibenarkan.

“Jika mahu merentas negeri itu bukan masalah, tetapi yang menjadi masalahnya apabila ada yang tidak mematuhi SOP sehingga mendatangkan risiko kepada orang lain terutamanya mereka yang berisiko tinggi,” tegasnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.