Keputusan ROS tolak pendaftaran MUDA memang tepat

7 JAN: Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) menyambut baik keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) tidak meluluskan pendaftaran Parti Ikatan Demokratik (MUDA).

Ketua Dewan Pemudanya, Shahir Adnan berkata, ini kerana parti tersebut cuba menggunakan nama parti Ikatan yang akan mengelirukan orang ramai.

Menurut beliau, ROS mengambil masa hampir tiga tahun untuk meluluskan permohonan penubuhan parti baharu.

“Ikatan telah ditubuhkan pada 7 Jun 2012 oleh Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir dan diluluskan oleh ROS pada 5 Jun 2015 setelah mengharungi pelbagai dugaan dan cabaran untuk mendapatkan kelulusan.

“Dewan Pemuda Ikatan berpandangan jika ada parti yang mendapat kelulusan kurang dari 3 tahun, itu adalah satu keistimewaan bagi mereka.

”Ikatan telah membuat bantahan pendaftaran MUDA yang menggunakan nama Ikatan kerana ianya mengelirukan semua pihak,” katanya, hari ini.

Justeru itu, beliau menegaskan pengasas MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, perlu kreatif dalam menamakan parti beliau.

“Kelulusan ROS bukan hanya untuk mendapatkan akaun bank seperti yang dicanang segelintir ahli Muda, sebaliknya, pentingnya bagi satu-satu organisasi itu mempunyai hala tuju yang jelas bagi mencapai objektif mereka.

”Diharapkan Pengasas MUDA tidak semberono dalam mencari nama partinya yang baharu. Buatlah kajian terlebih dahulu dan bukan hanya mencari publisiti politik murahan dengan menyalahkan pihak lain,” katanya.

Terdahulu, MUDA dalam kenyataan hari ini berkata e-mel memaklumkan penolakan permohonan itu telah dihantar kepada pihaknya, semalam.

Katanya, keputusan itu diperoleh selepas hampir empat bulan Muda mengemukakan permohonan.

Susulan itu, menurut kenyataan berkenaan lagi, Muda akan mempertimbangkan segala pilihan yang ada, termasuk tindakan mahkamah.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.