Jangan beri ‘oksigen’ untuk PH kembali berkuasa

119

7 JAN: Perbezaan pendapat antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bakal membuka ruang kepada Pakatan Harapan (PH) dan DAP kembali berkuasa di negara ini.

Berikutan itu, Naib Presiden PAS, Idris Ahmad menggesa parti politik berteraskan orang Melayu dan Islam termasuk UMNO, BERSATU dan PAS sendiri berhenti berbalah sesama sendiri .

Menurut beliau, perbalahan parti politik orang Melayu Islam akan memberi ‘oksigen’ kepada PH khususnya DAP untuk kembali berkuasa.

idris ahmad
IDRIS AHMAD

“Kita sepatutnya menjadikan apa yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sebagai beri pengajaran berguna kepada parti politik orang Islam Melayu. Berbalah bererti memberi ‘balang oksigen’ kepada DAP dan PH untuk berkuasa.

“Pentadbiran PH selama 22 bulan sepatutnya memberi iktibar dan pengajaran yang berguna kepada kita,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Idris berkata dalam PRU-14 lalu, kuasa 35 peratus (orang bukan Melayu) telah menang dan mengatasi kuasa penduduk 65 peratus orang Islam dan Melayu di negara ini.

Beliau berkata, puncanya apabila 35 peratus orang bukan Melayu memberi sokongan penuh kepada DAP dan PH, sedangkan pengundi Melayu Islam yang 65 peratus berpecah kepada tiga iaitu UMNO, BERSATU dan PAS.

Malah, Idris tidak menolak kemungkinan bahawa sejarah yang sama akan berlaku pada PRU ke-15 sekiranya parti Melayu Islam tidak bersatu.

“Sejarah PRU-14 akan berulang pada PRU-15 jika parti Melayu Islam terus berbalah. Waktu itu menangis air mata berdarah tidak berguna lagi,” jelasnya.

Berikutan itu, Idris juga memetik maksud ayat al-Quran daripada Surah al-Anfal ayat 46 yang bermaksud “Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar”.

Katanya, amaran Allah di dalam ayat al-Quran berkenaan sepatutnya menjadi iktibar kepada pemimpin parti politik orang Melayu Islam.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.