Bersatu tetap pertahan kerjasama politik kerajaan PN

701

7 JAN: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) beriltizam untuk terus mempertahankan kerjasama politik yang telah dipersetujui bersama-sama parti dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN), dengan berpaksikan kepada agenda penyatuan ummah dan perpaduan seluruh rakyat Malaysia. 

Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berkata, sebagai sebuah parti yang mempelopori pembentukan Kerajaan (PN), kerjasama ini akan diteruskan dengan adil dan saksama bagi menjamin kesejahteraan rakyat yang terdiri daripada semua lapisan agama, bangsa dan budaya.

Justeru, pihaknya menyeru agar semua pihak menunjukkan keikhlasan dan menzahirkan kesungguhan melalui displin organisasi yang tinggi, dalam memastikan kerjasama politik yang telah diwujudkan menerusi PN dapat terus dihormati dan dipelihara.

“Dalam konteks PN, Bersatu akan terus memperkukuhkan kerjasama politik bersama parti-parti anggota PN lain iaitu PAS, STAR dan Parti Maju Sabah (SAPP).

“Bersatu memutuskan untuk memberi fokus terhadap pembinaan kekuataan parti melalui amalan politik khidmat dan politik prihatin, serta mengarahkan seluruh jentera untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat yang memerlukan. 

“Mesyuarat juga bersetuju untuk menganjurkan siri Jelajah BERSATU 2021 dalam masa terdekat bagi memberi penerangan berkenaan isu-isu semasa,”katanya menerusi kenyataan selepas menghadiri mesyuarat Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu di Ibu Pejabat parti itu di Yayasan Selangor, hari ini.

Dalam pada itu, Wan Saiful memberitahu tindakan beberapa pihak yang terus menerus melakukan percaturan politik dalam keadaan rakyat sedang melalui dugaan besar adalah sesuatu yang tidak tepat pada masanya. 

Menurut beliau, Bersatu berpendirian bahawa Pilihanraya Umum (PRU) hanya wajar dilaksanakan apabila perkembangan pandemik COVID-19 berada pada tahap yang lebih baik dan terkawal. 

“Bersatu komited untuk terus memberi tumpuan kepada usaha untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat khususnya dalam menghadapi penularan wabak COVID-19 dan bencana banjir ketika ini. 

“Oleh yang demikian, agenda utama parti ketika ini adalah untuk menumpukan segala usaha serta tenaga bagi menangani pandemik COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara,”katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.