PKPD Asrama Westlite sambung, PKPB Ipoh mula esok

60

6 JAN: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Asrama Pekerja Westlite, Taman Perindustrian Tampoi Jaya, Johor Bahru yang dijadualkan tamat pada 8 Januari ini dilanjutkan lagi sehingga 22 Januari.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan itu diambil atas nasihat dan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan.

“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan telah melaksanakan 1,303 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 555 kes positif COVID-19 telah direkodkan.

“Walau bagaimanapun, Kementerian Kesihatan mengesahkan kadar kebolehjangkitan COVID-19 dalam kalangan penghuni di asrama ini masih lagi tinggi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

ismail sabri yaakob
ISMAIL SABRI YAAKOB

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dilaksanakan di submukim Ipoh mulai esok hingga 20 Januari.

Ismail Sabri menambah, Kementerian Kesihatan mengesahkan terdapat 106 kes positif COVID-19 telah dilaporkan secara bertaburan di dalam submukim Ipoh dan daripada jumlah itu, sebanyak 89 kes adalah daripada jangkitan tempatan yang dilaporkan dalam tempoh 14 hari.

“Kementerian Kesihatan turut mengesahkan terdapat kluster yang masih aktif melibatkan kawasan kilang yang bertumpu dalam beberapa kawasan perindustrian di submukim ini yang berisiko kepada penularan jangkitan COVID-19,” jelasnya.

Berhubung tindakan penguatkuasaan, beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 194 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kesemuanya dikenakan kompaun.

Menurut Ismail Sabri, antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka (84), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (74), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (25) dan lain-lain (11).

Beliau menjelaskan, pasukan keselamatan turut menahan seramai 49 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan dua tekong serta merampas tujuh kenderaan darat dalam Op Benteng semalam. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.