Perjuangan murni PN demi martabat rakyat, negara

145

6 JAN: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai sebuah gabungan kerjasama politik bertekad mahu menganjurkan perjuangan murni, luhur dan ikhlas demi mengangkat martabat rakyat dan negara.

Sehubungan itu, Pengerusi Badan Perhubungan Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, seluruh komponen, pimpinan dan aktivis akar umbi PN khususnya di negeri itu perlu segera menggembeleng kekuatan di samping sinergi baru yang segar serta utuh demi kesejahteraan rakyat dan negara.

“PN Selangor tuntas meneruskan dasar-dasar yang peduli rakyat, memacu pertumbuhan ekonomi baru serta menjamin penyampaian perkhidmatan yang efisien untuk rakyat dalam suasana yang mencabar ini.

“Untuk menjayakan usaha ini, PN Selangor akan terus menggembeleng perpaduan dan kesatuan rakyat untuk bersama-sama dalam usaha pembangunan dan kemajuan negara,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PN berterima kasih kepada pucuk pimpinan PN kerana memberi kepercayaan kepadanya mengetuai gabungan parti itu di Selangor.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berikrar untuk menggalas amanah dan tanggungjawab itu dengan menggarap dan memperkukuh seluruh kekuatan PN di negeri berkenaan.

“Selangor merupakan sebuah negeri yang kosmopolitan dan progresif. Rakyatnya yang rencam dan dinamik adalah aset utama Selangor sebagai sebuah negeri maju dan penyumbang utama ekonomi negara.

“Menginsafi bahawa cabaran hari ini menuntut sebuah kerajaan yang stabil dan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada usaha-usaha menjamin keselamatan rakyat dan mencerdaskan ekonomi negara, PN Selangor bertekad untuk mendakap aspirasi rakyat,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.