Muhyiddin hadir mesyuarat Bersatu malam ini

290

6 JAN : Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengadakan mesyuarat pada malam ini dipercayai untuk membincangkan kemelut hubungan antara parti tersebut dengan UMNO.

Ini ekoran lebih 140 Bahagian UMNO yang dikatakan menolak kerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada persidangan Mesyuarat Perwakilan UMNO baru-baru ini.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dilihat tiba di ibu pejabat parti  di Menara Yayasan Selangor di sini, kira-kira pukul 8.25 malam tadi bagi mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.

Turut hadir, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Zuraida Kamarudin dan Naib Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Mas Erniyati Samsudin.

Sementara itu, UMNO juga pada malam ini mengadakan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) , yang dijangka akan membuat keputusan mengenai pendirian parti itu dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), termasuk kerjasama dengan Bersatu.

Mesyuarat Biro Politik UMNO yang turut dihadiri Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri di Menara Dato Onn di sini, berakhir jam 7 malam tadi.

Antara yang kelihatan termasuk Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka; Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.


Mesyuarat MKT UMNO pada malam ini dijangka memutuskan mengenai pendirian parti itu dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), termasuk kerjasama dengan Bersatu.

Parti tersebut dijangka mengumumkan pendirian sama ada Ahli Parlimen UMNO yang berada dalam kerajaan ketika ini perlu meletak jawatan menteri dan timbalan menteri, di mana sekiranya berlaku ia boleh menyebabkan kerajaan PN diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hilang sokongan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.