Mayat mangsa bot terbalik banjir Pahang ditemukan

70

6 JAN: Mayat salah seorang daripada dua mangsa yang dikhuatiri hanyut selepas bot yang dinaiki mereka terbalik sebelum dibawa arus deras di Kampung Bertang, Sungai Koyan, kelmarin, telah ditemukan semalam.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pemuda UMNO Bahagian Raub, Fadzli Mohamad Kamal bahawa mayat Rozi Umar, 52, ditemukan pagi semalam oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang dilancarkan sejak 4 Januari lalu setelah menerima laporan kejadian tersebut.

Seorang lagi mangsa, Zakirah Ahmad Husin masih belum ditemukan dan pasukan SAR masih meneruskan pencarian dan akan melakukan aktiviti menyelam bagi mencarinya di dasar sungai.

FADZLI MOHAMAD KAMAL
FADZLI MOHAMAD KAMAL

Fadzli menerusi saluran Youtube miliknya menceritakan, kedua-dua mangsa merupakan ibu dan anak yang mahu pulang ke rumahnya bersama dua lagi ahli keluarganya untuk mengambil barang di rumah mereka dengan menggunakan bot.

“Nasib tidak menyebelahi empat sekeluarga ini bila mana bot yang dinaiki mereka tersangkut di kabel boya di sana mengakibatkan bot mereka terbalik dan malangnya Rozi dan Zakirah dikhuatiri lemas dalam kejadian itu.

“Alhamdulillah, Ahmad Husin Mad Aris, 52 dan Nur Aina Ahmad Husin, 21, terselamat di mana mereka sempat berpaut pada dahan-dahan pokok. Pihak bomba masih lagi berusaha sehabis baik yang mungkin,”katanya.

Dalam pada itu, Fadzli memberitahu, kawasan tempat kejadian berhampiran jambatan gantung Kampung Bertang, di Sungai Jelai dengan keadaan paras air nak tinggi kira-kira lima meter daripada permukaan tebing ke tali boya yang menyebabkan bot empat sekeluarga itu terbalik.

Justeru, beliau mengingatkan orang ramai khususnya mangsa banjir agar lebih berhati-hati ketika menghadapi musim tersebut dan mendoakan agar pasukan penyelamat berjaya menjalankan operasi mereka.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor yang mengesahkan kejadian itu menyatakan, usaha untuk melepaskan bot berkenaan bagaimanapun gagal selepas diterbalikkan oleh arus deras.

Tambahnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang digerakkan membabitkan 22 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lapan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Susulan kejadian itu, bapa dan seorang anaknya sempat berpaut pada sebatang kayu manakala ibu dan seorang lagi anak dipercayai hanyut dibawa arus deras.

“Usaha untuk mengesan mangsa telah diaktifkan yang mana dua bot digerakkan daripada PDRM dan sebuah bot daripada JBPM ke lokasi kejadian. Setakat ini, tumpuan SAR adalah di pesisir sungai memandangkan arus sungai masih deras dan terdapat dua lubuk berpusar yang agak berbahaya,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.