Malaysia kelima terbaik destinasi tumpuan pelaburan

26

6 JAN: Kedudukan Malaysia di tangga kelima negara destinasi tumpuan pelaburan dan perniagaan utama dalam kalangan ekonomi membangun sedunia 2021 membuktikan langkah pemulihan ekonomi yang dilaksanakan kerajaan ekoran pandemik COVID-19 adalah berkesan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kedudukan Malaysia seperti dilaporkan media antarabangsa itu mengatasi ekonomi membangun lain seperti China, Filipina, India dan Indonesia.

“Ini berdasarkan, antara lainnya, potensi pemulihan ekonomi yang pesat, serta kedudukan fiskal dan kewangan negara yang stabil,” katanya dalam Laporan LAKSANA Ke-35 pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), hari ini.

tengku zafrul
TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ

Menurut beliau, selain itu, berdasarkan Indeks ‘Lockdown’ berkesan, satu firma perunding antarabangsa meramalkan bahawa Malaysia adalah antara tiga negara yang mempunyai ruang paling banyak untuk mengawal dan meredakan pandemik COVID-19 pada 2021.

Tengku Zafrul percaya bahawa sebaik sahaja langkah itu berjaya dilakukan, ekonomi negara dijangka melonjak semula dengan lebih pesat.

Beliau menambah, laporan sebuah firma perunding antarabangsa baru-baru ini turut meyimpulkan bahawa Kuala Lumpur kekal menarik kepada komuniti perniagaan antarabangsa.

“Ini mengambil kira faktor-faktor seperti kemudahan infrastruktur yang bersepadu, kepelbagaian dan mutu sumber manusia, serta kesediaan negara kita dalam mengadaptasi teknologi digital,” jelasnya.

Tengku Zafrul menambah, tempoh bagi pelbagai insentif cukai dan pelaburan melalui PENJANA sudah dipanjangkan melalui Belanjawan 2021.

Beliau berkata, ini termasuk kadar cukai istimewa kepada syarikat pengilang terpilih yang memindahkan lokasi perniagaan ke Malaysia dan membuat pelaburan baharu.

Selain itu, menurut beliau, galakan cukai kepada syarikat dalam sektor perkhidmatan terpilih yang memberi kesan pengganda signifikan, dengan kadar cukai pendapatan sifar hingga 10 peratus untuk tempoh 10 tahun.

“Dalam kerajaan merangka perjalanan ekonomi negara pasca COVID-19 ini, semestinya sebarang keputusan perlu mengimbangi antara pengurusan sumber sedia ada, serta impak positif atau pengganda bagi jangka masa pendek dan panjang,” katanya.

Tengku Zafrul memberi jaminan, pendekatan tersebut akan terus diamalkan oleh Kementerian Kewangan dalam penggubalan setiap dasar.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.