Kesal wanita buang sampah dalam sungai di Kelantan

176

6 JAN: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) kecewa dengan tindakan seorang wanita membuang sampah ke dalam sungai di Kelantan seperti yang tular dalam media sosial sejak semalam.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ketika kementerian melancarkan kempen menjaga sungai, masih ada masyarakat yang tidak mempedulikan kebersihan sumber air.

“Pelaku seharusnya insaf dan diharap dapat memohon maaf atas sikap buruk yang ditunjukkan itu.

“Terima kasih kepada yang membuat rakaman,” katanya menerusi laman Facebook miliknya.

Terdahulu, tindakan seorang wanita yang dipercayai membuang bungkusan plastik di sebuah jambatan di Kelantan mendapat kecaman netizen yang menganggap perbuatan tersebut sebagai ‘tiada sivik’.

Video berdurasi 20 saat itu mula viral apabila dikongsi netizen di Facebook dan mendapat pelbagai respon daripada orang ramai.

Rata-rata netizen menganggap tindakan tersebut sebagai tidak bermoral dan si pelaku tidak sepatutnya bertindak demikian dalam keadaan kenderaan yang bergerak.

Tidak kurang juga yang menyifatkan tindakan tersebut sebagai memalukan rakyat negeri Kelantan apabila si pelaku didakwa menaiki kenderaan yang menggunakan nombor plat ‘D’.

Ada juga yang berpendapat, tindakan seperti itulah yang menyebabkan berlakunya pencemaran sungai sekaligus dikaitkan dengan bencana banjir yang sering kali membawa bersama sampah sarap dan plastik.

Kemarahan netizen kian memuncak apabila ada salah seorang daripada pelayar Facebook berkongsi alamat pemilik kenderaan tersebut termasuklah mahu pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya pihak yang terlibat.

Namun, terdapat laman Facebook yang memaklumkan wanita berkenaan memohon maaf atas tindakannya sambil menjelaskan beliau baru pulang daripada berubat di Kuala Krai dan diminta perawat tradisional supaya membuang barang ‘saka’ ke dalam arus sungai yang mengalir.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.