Jalan Lama Bentong-Raub yang runtuh dibaiki semula

26

6 JAN: Kementerian Kerja Raya akan membaiki semula Jalan Lama Bentong-Raub yang telah berlakunya kejadian tanah runtuh menyebabkan ia terputus dan tidak dapat digunakan oleh sebarang kenderaan sejak 3 Januari lalu.

Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kejadian itu berlaku disebabkan hujan yang berterusan sejak 2 Januari lalu dan limpahan air dari pembetung paip naik ke permukaan pavemen jalan menyebabkan ianya runtuh.

Beliau turut mengesahkan laluan berkenaan telah dibuka semula mulai hari ini namun hanya kenderaan ringan sahaja dibenarkan untuk melalui jalan tersebut.

banjir
Kawasan Jalan Lama Bentong-Raub yang runtuh akibat banjir baru-baru ini.

“JKR bersama syarikat konsesi penyenggaraan jalan persekutuan (Roadcare (M) Sdn. Bhd.) telah menjalankan kerja-kerja pembersihan di tapak kejadian. Laluan alternatif di FT08 (Jalan Bentong – Gua Musang) – Fat (Jalan Tranum – Kuala Kubu) – Bukit Fraser dan Kuala Kubu.

“Kerja pembaikan menggunakan ‘Armour Rock’ dan ‘Rockfill’ serta pembinaan ‘Build Back Slope’ telah diluluskan dan jangkaan siap kerja dalam tempoh anggaran lima bulan,”katanya menerusi kenyataan dalam laman Facebook miliknya, hari ini.

Terdahulu, jumlah mangsa banjir di Pahang meningkat kepada 20,100 orang daripada 5,318 keluarga di 252 pusat pemindahan sementara (PPS) di sembilan daerah di negeri ini, setakat 12 tengah hari ini berbanding pada 8.30 pagi tadi, hanya seramai 19,527 mangsa daripada 5,198 keluarga berada di 247 PPS.

Berdasarkan rekod, sebanyak 46 PPS dibuka di Temerloh, diikuti Maran (41), Lipis (40), Raub (37), Jerantut (35), Kuantan (24), Pekan (13), Bera (sembilan) dan Rompin (tujuh) manakala Kuantan merekodkan 2,797 mangsa daripada 753 keluarga, diikuti Temerloh 3,647 membabitkan 969 keluarga; Maran 4,531 daripada 1,232 keluarga.

Rompin pula merekodkan 1,012 daripada 264 keluarga; Bera 423 daripada 112 keluarga; Raub 2,391 daripada 644 keluarga; Jerantut 2,279 daripada 543 keluarga; Lipis 2,551 daripada 675 keluarga dan Pekan 469 daripada 128 keluarga.

Laporan infobanjir.water.gov.my memaklumkan lapan sungai masih melepasi paras bahaya setakat jam 12 tengah hari.

Sungai terbabit ialah di Sungai Jelai, Jeram Bungor, Lipis; Sungai Pahang di Sungai Yap, Jerantut; Sungai Pahang di Lubuk Pasu, Temerloh dan Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran.

Selain itu Sungai Kuantan di Jalan Kuantan Pintasan, Kuantan, Sungai Lepar di Jambatan Gelugor, Kuantan serta Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini dan Sungai Pahang di Serambi (Paloh Inai), Pekan dan tiga sungai lagi melepasi paras amaran iaitu Sungai Kuantan di Pasir Kemudi, Sungai Belat di Sri Damai, Kuantan dan Sungai Triang, Bera. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.