Isu beli ahli tak timbul dalam GRS – Bung Moktar

46

6 JAN: Tidak timbul langsung isu masalah perebutan atau pembelian ahli dalam parti-parti yang membentuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, perkara itu tidak timbul kerana negara mengamalkan demokrasi politik.

“Terpulang kepada rakyat untuk pilih parti mana yang mereka mahu, dan tiada isu perebutan atau membeli ahli, bukan senang mahu beli ahli (kerana) mereka tahu mana parti yang mereka mahu pilih.

“Saya minta semua pihak dalam GRS memberi fokus dalam usaha membantu rakyat, ini masa kita membantu rakyat dan jangan lagi kita berlaga-laga pasal keahlian, jangan buang masa untuk fikir masalah yang tidak memberi keuntungan,” katanya kepada media selepas Majlis Amanat dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) JKR Sabah, Kota Kinabalu, malam tadi.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai isu ‘pembelian ahli’ yang didakwa melibatkan beberapa parti politik, baru-baru ini.

GRS merangkumi persepakatan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS), membentuk kerajaan negeri Sabah selepas pilihan raya negeri ke-16 September lepas.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.