Hala tuju UMNO mesti jelas kepada ahli, rakyat

197

6 JAN: UMNO harus mempunyai hala tuju, objektif dan sebab yang jelas dalam merancang jalan ke hadapan parti manakala pertimbangan yang dibuat jangan bersandarkan emosi dan kesan jangka masa pendek.

Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata, keputusan yang bakal dibuat parti akan menentukan jatuh bangunnya UMNO, memberi kesan kepada nilai dan asas perjuangannya dan kedudukan parti dalam pilihan raya yang akan datang.

“Jika parti berkeputusan untuk tidak meneruskan kerjasama dengan Bersatu, parti harus putuskan dengan siapa UMNO akan bekerjasama menjelang PRU15. Adakah dengan DAP? Adakah dengan PKR? Atau bersendirian?

“Perancangan kerjasama politik UMNO harus dibuat dengan teliti kerana pilihanraya bukannya esok. UMNO mesti lakukannya dengan penuh tanggungjawab dan kebijaksanaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Luar mengulas tentang perkembangan semasa berkaitan UMNO ketika ini.

Ahli Parlimen Sembrong itu menambah, iktibar yang harus diambil oleh UMNO adalah Barisan Nasional (BN) hanya menang 79 kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berbanding 133 kerusi yang dimenangi pada PRU-13.

Hishammuddin memberitahu, keputusan itu menunjukkan BN kehilangan 54 kerusi dan pengalaman itu harus diinsafi.

“Tambahan, kita masih berperang dengan COVID-19. Kes harian masih tinggi. Negara juga sedang dilanda banjir. Ekonomi juga sedang dipulihkan. Jumlah rakyat yang terkesan semakin meningkat.

“Parti UMNO sedang diberi peluang untuk buktikan kepada rakyat bahawa pemimpin kita prihatin, berkemampuan, dan bersungguh-sungguh untuk mengurus krisis dan menitikberatkan kepentingan rakyat,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa pemimpin-pemimpin UMNO diberi amanah mengetuai Kementerian Pertahanan, Kementerian Kesihatan serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang memainkan peranan penting dalam menangani situasi pandemik COVID-19.

Sehubungan itu, Hishammuddin berpandangan, UMNO sepatutnya komited dalam usaha memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Pada hemat saya inilah harapan rakyat di bawah kepada pemimpin UMNO. Bukan berpolitik merebut kuasa yang tiada kesudahan. Akhirnya rakyat mual dan hilang keyakinan,” jelasnya.

Beliau turut berharap Majlis Tertinggi UMNO yang akan bermesyuarat malam ini membuat keputusan yang terbaik serta memastikan parti dan rakyat jelas tentang apa yang sebenarnya UMNO inginkan.

Hishammuddin juga bersedia meletakkan jawatan dalam Kabinet sekiranya diarahkan oleh UMNO untuk berbuat demikian. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.