Banjir Pahang, Terengganu, Kelantan semakin buruk

67

6 JAN: Jumlah mangsa banjir di Pahang, Terengganu dan Kelantan terus bertambah, manakala situasi banjir di Perak, Selangor dan Johor bertambah baik dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) semakin berkurangan.

Memetik laporan Bernama, di PAHANG, situasi banjir bertambah buruk apabila mangsa banjir yang dipindahkan di 241 pusat pemindahan mencatatkan angka 18,976 orang daripada 5,032 keluarga setakat pukul 7.30 pagi ini.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan daerah Maran masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 4,501 orang diikuti Temerloh (3,020), Lipis (2,551), Raub (2,402), Jerantut (2,329), Kuantan (2,321), Rompin (1,012), Pekan (430) dan Bera (410).

Bagaimanapun, keadaan banjir di daerah Bentong pulih, apabila pusat pemindahan di kawasan itu telah ditutup petang semalam.

Portal itu turut memaklumkan Sungai Pahang di daerah Bera, Kuantan, Lipis, Jerantut, Temerloh dan Maran sudah melepasi tahap bahaya setakat 7 pagi.

Sementara itu, pemegang konsesi Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) ANIH Berhad dalam kenyataan memaklumkan KM113 dan KM115 ditutup kedua-dua hala susulan kenaikan air.

Laluan di KM84.6 – KM84.7 (antara Persimpangan Lanchang ke Persimpangan Karak), LPT1 hala Kuantan juga masih ditutup kepada lalu lintas, bagaimanapun laluan antara Lanchang menghala Kuala Lumpur telah dibuka pada 9 pagi semalam.

Di TERENGGANU, Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Lt Kol (PA) Che Adam A. Rahman memaklumkan, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 267 orang setakat 8 pagi ini berbanding 117 orang pada 3 petang semalam berikutan pembukaan semula dua pusat pemindahan di Dungun yang menempatkan 156 mangsa.

Di KELANTAN, Tanah Merah menjadi jajahan kedua dilanda banjir di Kelantan dengan lapan pusat pemindahan diaktifkan bagi menempatkan 125 mangsa daripada 33 keluarga setakat 8 pagi.

Menurut InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, sebelum ini Gua Musang turut terjejas dengan banjir, namun telah pulih dengan kesemua pusat pemindahan di jajahan itu ditutup semalam.

Sementara itu, menurut infobanjir.water.gov.my setakat 8 pagi, tiga sungai utama di negeri itu merekodkan bacaan melepasi paras bahaya iaitu Sungai Kelantan di Kuala Krai 25.62 meter (m) (bahaya 25.00 m), Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah 16.11 m (bahaya 16.00 m) dan Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah 24.23 m (bahaya 23.50 m).

Di PERAK, sejumlah 520 mangsa banjir daripada 152 keluarga dari tiga daerah masih ditempatkan di pusat pemindahan setakat pukul 7 pagi ini dengan Hilir Perak menempatkan mangsa paling ramai iaitu 484 orang, diikuti Kampar (32), dan Muallim (empat).

Berdasarkan infobanjir.water.gov.my, Sungai Plus di Kampung Lintang, Kuala Kangsar mencecah paras amaran iaitu 54.93 m, manakala Sungai Perak di Kampung Gajah dalam daerah Perak Tengah berada pada paras berjaga-jaga iaitu 6.62 m pagi ini.

Banjir di SELANGOR pula semakin pulih apabila hanya dua pusat pemindahan masih beroperasi dengan menempatkan 68 mangsa daripada 20 keluarga setakat 6 pagi.

Di JOHOR, keadaan banjir mula menunjukkan tanda pulih apabila jumlah mangsa terlibat menurun kepada 3,566 orang daripada 903 keluarga setakat pukul 8 pagi berbanding 4,116 orang daripada 1,036 keluarga pada 8 malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R. Vidyananthan dalam kenyataan berkata di Kota Tinggi yang merupakan daerah terjejas teruk sebelum ini, terdapat 17 pusat pemindahan masih beroperasi bagi menempatkan seramai 2,122 mangsa daripada 533 keluarga.

Di Kluang pula terdapat 919 mangsa daripada 223 keluarga, Mersing (292 mangsa daripada 77 keluarga), Segamat (90 mangsa daripada 24 keluarga), Johor Bahru (72 mangsa daripada 24 keluarga) dan Batu Pahat (71 mangsa daripada 22 keluarga).

Beliau berkata, jalan yang masih ditutup kepada semua jenis kenderaan ialah Jalan Mawai Lama di Kota Tinggi; Jalan Haji Suhud di Taman Muhibbah, Johor Bahru; serta kawasan stesen minyak Nitar 2 dan simpang tiga Kahang ke Kluang di Jalan Nitar Utama-Kluang, Mersing.

Sehingga kini, angka korban akibat banjir di negeri itu kekal seramai tiga orang.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.