2,593 kes baharu, Selangor 965 kes hari ini

33

6 JAN : Malaysia hari ini merekodkan kes harian baharu tertinggi sebanyak 2,593 kes menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 125,438 kes, manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 24,347 kes.  

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat empat (4) kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 2,589 kes.

“Selangor terus kekal melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 965 kes (37.2 peratus). Daripada jumlah ini, sebanyak 894 kes (92.6 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan. Ini diikuti oleh Johor sebanyak 571 kes (22.0 peratus) dan Sabah sebanyak 405 kes (15.6 peratus).

“Sebanyak 81 kes (3.1 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (73 kes), Kluster Pagar Siput (4 kes), Kluster Tembok Gajah (3 kes), dan Kluster Matambai (1 kes),” ujarnya menerusi kenyataan media harian Covid-19 hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bilangan kes sembuh COVID-19 adalah sebanyak 1,129 kes. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 adalah sebanyak 100,578 kes (80.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).  

“Sehingga kini, terdapat 141 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 67 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan empat  kes kematian COVID-19 pada hari ini melibatkan dua di negeri Sabah, satu di Kuala Lumpur dan satu di Selangor, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 513 kes (0.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” jelasnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.