Tangguh roboh gerai Puchong Permai, peniaga lega

5 JAN: Seramai 43 peniaga di Puchong Permai mampu tersenyum semula apabila kerja-kerja perobohan gerai makan yang sepatutnya dilakukan oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di Puchong Permai, ditangguhkan hari ini.

Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Datuk Mohd Ridzuan Abdullah berkata berita gembira itu diterimanya setelah mendapat makluman dari pihak polis, awal pagi tadi.

Menurut beliau, setakat ini pihaknya difahamkan oleh pihak polis bahawa operasi perobohan gerai makan itu akan ditangguhkan buat sementara waktu.

“Malam tadi pun saya telah dihubungi Ibu Pejabat Kontinjen Polis Selangor, saya minta bantuan pihak polis supaya mengadakan satu mesyuarat demi keselamatan dan keamanan negara.

“Ini disebabkan oleh pihak Datuk Bandar Subang Jaya enggan berjumpa dengan wakil peniaga Puchong Permai termasuk saya sendiri.

“Saya minta pihak polis panggil Datuk Bandar dan kami bincang bagi situasi menang-menang atau menguntungkan kedua-dua pihak,” katanya kepada media ketika ditemui di tapak gerai Puchong Permai, hari ini.

Pada 28 Disember tahun lepas, lebih 100 anggota penguatkuasa termasuk MBSJ, PDRM dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) terlibat dalam operasi perobohan gerai-gerai makan milik 43 penjaja kecil di Puchong Permai, di sini.

Operasi yang bermula kira-kira jam 8 pagi itu bermula agak kecoh apabila sekumpulan penjaja terbabit terpaksa bergelut dengan penguatkuasa yang bertindak melakukan perobohan gerai makan yang diusahakan sejak 20 tahun lalu.

Sementara itu, kesemua 43 peniaga terbabit akan terus berada di sekitar gerai makan bagi memastikan kerja-kerja perobohan itu benar-benar ditangguhkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Mohd Ridzuan turut mendedahkan setiap peniaga kerugian antara RM1,000 hingga RM2,000 sejak gerai makan itu ditutup operasinya sejak seminggu lalu.

“Mereka berniaga ini cuma cukup-cukup makan saja, takkan negara dalam situasi gawat, tengah susah, rakyat pun jatuh susah, mereka terpaksa berniaga sana sini,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.