Segera naik taraf sistem perparitan di Johor

18

5 JAN: Kerajaan negeri Johor serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diharap dapat membuat perancangan segera bagi menaik taraf sistem perparitan dan saliran dalam kawasan bandar dan luar bandar, selain kajian yang mungkin perlu dijalankan.

Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata perkara ini juga merupakan permintaan dari Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meminta sistem perparitan dan saliran khususnya di kawasan bandar dinaikkan taraf bagi mengatasi kekerapan banjir yang berlaku di daerah ini.

Menurut beliau, banjir pernah berlaku pada 2006 atau 2007 bagi tempoh sebulan setengah, sehingga menyebabkan Kota Tinggi lumpuh dan kedai tidak boleh beroperasi termasuk tidak ada aktiviti langsung dalam bandar berkenaan.

HALIMAH MOHAMED SADIQUE
HALIMAH MOHAMED SADIQUE

“Kita sudah ada pengalaman bagi tempoh itu. Selepas 14 tahun, berulang kembali pada tahun ini. Dulu, ada kajian yang dijalankan untuk selesaikan soal banjir yang air termenung di kawasan bandar.

“Kita dapat lihat Perdana Menteri pun sudah memaklumkan kepada Menteri Besar supaya tindakan segera diambil untuk bantu permulaan aktiviti ekonomi dalam kawasan bandar.

“JPS buat kerja mereka, cuma peruntukan tidak cukup. Biasanya banjir, mesti Kota Tinggi teruk. Kalau sudah kebiasaan, sepatutnya lebih daripada segi tindakan itu perlu ada, jangan tunggu apabila banjir berlaku, baru terdesak kita perlu buat itu ini. Tapi dengan syarat, peruntukan kena ada,” katanya ketika ditemui media selepas lawatan ke lokasi penempatan mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Laksamana, Johor, hari ini.

Dalam pada itu, Halimah yang juga Menteri Perpaduan Negara berharap agar kerajaan mempertimbangkan sewajarnya bagi menambah baik PPS yang digunakan terutama bangunan sekolah.

“Pegawai Daerah pun ada mohon peruntukan PPS kerana di Kota Tinggi kebanyakan kita pakai bangunan sekolah untuk PPS, perlu naik taraf tandas misalannya kerana sekolah sudah nak buka pada 20 Januari ini, supaya kelak sekolah dapat berfungsi sebagai sekolah dan dalam pada itu berfungsi sebagai PPS.

“Kita harap ia tidak akan mengganggu keselesaan pelajar masuk ke sekolah, jadi kalau ada baik pulih yang perlu disegerakan dapat diturunkan dengan segera,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri tiba di PPS berkenaan yang menempatkan 156 orang daripada 35 keluarga dari kawasan Batu 25, Taman Aman serta Taman Mawai, di sini, kira-kira jam 12.40 tengah hari.

Selain beramah mesra dengan mangsa banjir selama kira-kira 15 minit, Muhyiddin yang turut diiringi Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad, Halimah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama, Rosleli Jahari turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas kepada kesemua mangsa banjir yang ditempatkan di PPS berkenaan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.