PPS mesti patuh SOP cegah penularan COVID-19

47

5 JAN: Pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan mangsa banjir di seluruh negara mesti mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pengurusan Bencana Semasa Pandemik COVID-19.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu bagi memastikan penularan wabak tersebut dapat dielakkan.

Menurut beliau, antara perkara perlu diambil perhatian adalah menyaring setiap mangsa banjir dan memastikan aspek penjarakan fizikal dipatuhi sepenuhnya.

“Bagi mangsa yang bergejala, mereka akan dirujuk ke klinik kesihatan dan kemudian diasingkan di ruang pengasingan khas yang disediakan,” katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.

Ismail Sabri menambah, mangsa-mangsa banjir juga tidak dibenarkan menziarahi sesama mereka semasa berada di PPS.

Beliau turut menasihatkan anggota-anggota penyelamat supaya memastikan SOP dipatuhi sepenuhnya semasa mengangkut mangsa dengan menggunakan bot atau lori.

Pada masa yang sama, beliau mengingatkan ibu bapa untuk sentiasa mengawasi anak-anak bagi mengelak sebarang perkara yang tidak diingini.

“Sentiasa utamakan keselamatan nyawa dan patuhi arahan dari pihak berkuasa dari semasa ke semasa,” jelasnya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, seramai 99,163 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan COVID-19 yang melibatkan 3,536 majikan setakat semalam.

“Daripada jumlah ini sebanyak 2,079 telah disahkan positif COVID-19 manakala 97,084 lagi adalah negatif,” katanya.

Beliau menambah, sebanyak 758 buah klinik telah terlibat dengan program saringan wajib pekerja asing. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.