Pemimpin UMNO henti bertelingkah sesama sendiri

5 JAN: Pemimpin-pemimpin UMNO perlu menghentikan pertelingkahan sesama sendiri sama ada di peringkat kepimpinan tertinggi dan juga akar umbi di bahagian serta cawangan UMNO di seluruh negara.

Bendahari UMNO Johor, Datuk Md Jais Sarday berkata, UMNO juga perlu berani untuk melakukan perubahan dan menonjolkan pemimpin yang berilmu, bijaksana serta berintegriti yang mampu memberi keyakinan kukuh kepada rakyat.

Menurut beliau, parti itu perlu seiring dengan perkembangan pantas dunia kini, khususnya teknologi maklumat yang menyebarkan informasi melalui pelbagai medium media sosial.

Md Jais Sarday
MD JAIS SARDAY

“UMNO bukan sahaja perlu bermaklumat, tetapi juga perlu pantas menyalurkannya ke medan sasar. Selain itu, UMNO perlu membuka ruang kepada anak muda yang sangat diperlukan oleh parti ini.

“UMNO perlu anak muda bukan sekadar tenaganya, tetapi juga menyelami pemikiran mereka.. anak muda abad ke-21 adalah mereka yang kreatif dan inovatif, tidak mahu terkongkong dengan alunan sejarah masa lalu,

“Malah mereka begitu ghairah untuk meneroka suatu yang baharu dalam mengejar kejayaan masa hadapan,” katanya menerusi kenyataan dalam Facebook miliknya, hari ini.

Dalam pada itu, Md Jais yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Kluang ketika merasmikan mesyuarat bahagian itu kelmarin mengingatkan, UMNO bukan parti dominan kerajaan dan tidak boleh menentukan dasar secara bersendirian, termasuk lantikan jawatan dalam masyarakat seperti ketua kampung, ahli majlis dan lain-lain.

“Walaupun hakikatnya UMNO adalah penggerak aktiviti masyarakat di kampung, di taman, di rumah pangsa dan lain-lain.

“UMNO juga perlu mengekalkan konsep kesederhanaan yang mengambil kira perihal kaum dan agama lain, sepertimana ketika memimpin Barisan Nasional (BN).

Justeru itu, beliau menegaskan UMNO perlu kembali kepada landasan asal sebagai parti berfahaman sederhana.

“UMNO bukan sahaja mempunyai pengalaman membangunkan negara, tetapi juga perlu meneruskan sikap sentiasa mendengar keluhan serta pandangan rakyat,” katanya.

Tambah Md Jais, naratif UMNO seharusnya memperkukuhkan semula BN, di samping meneroka hubungan baharu dengan parti lain melalui Muafakat Nasional (MN) serta berani berubah dan menonjolkan pemimpin berilmu, bijaksana dan berintegriti.

Jelas beliau, denyut nadi rakyat yang serik dengan kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengurus kerajaan, selain tidak ada kesefahaman sesama mereka, maka segala pengharapan diletakkan semula kepada UMNO dan BN untuk kembali menjaga kebajikan mereka. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.