Pecat mereka yang derhaka keputusan UMNO – Annuar

5 JAN: Individu yang sepatutnya dipecat dari UMNO adalah mereka yang ‘menderhaka’ terhadap keputusan parti untuk bekerjasama dengan PAS menerusi Muafakat Nasional (MN) dan menyokong pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN), menerusi akuan bersumpah ditandatangani, sebelum ini.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa, berkata, UMNO sudah membuat keputusan rasmi untuk bekerjasama dengan PAS.

Beliau berkata, keputusan rasmi parti berserta surat akuan bersumpah Ahli Parlimen UMNO adalah untuk menyertai kerajaan PN.

“Parti buat keputusan rasmi untuk berkerjasama dengan PAS. Keputusan rasmi berserta akuan bersumpah menyertai kerajaan PN. Secara rasmi putuskan ‘NO DAP,NO ANWAR’.

“Sesiapa mempertahankan keputusan tersebut adalah derhaka dan perlu dipecat. Mereka yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dan cuba berunding dengan senyap-senyap di luar mandat parti adalah wira sejati…mereka yang menolak PAS, tolak Parti Pribumi Bersatu Malaysia, tolak PN pejuang tulen,” katanya dalam satu kenyataan menerusi akaun Facebook miliknya malam tadi.

Dalam satu kenyataan berasingan, Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan dan Setiausaha MN, menafikan laporan media 189 daripada 191 Bahagian UMNO yang bermesyuarat beberapa hari lalu menolak kerjasama dengan PPBM.

“Usul yang dibawa secara teratur dalam mesyuarat perwakilan bahagian adalah mustahak dan mesti diberi perhatian sewajarnya. Ia perlu diangkat secara bertulis kepada ibu pejabat parti.

“Parti pula perlu melantik jawatankuasa penapis usul kerana usul berbeza-beza, tidak sama. Usul yang sudah ditapis dibawa ke jawatankuasa pengurusan untuk diputuskan sama ada diterima, atau dibawa untuk di bahas. Akhirnya ia perlu dilapur atau di bawa ke Perhimpunan Agung UMNO. Jangan buat macam laporan media hari ini..kononnya 189 daripada 191 bahagian tolak Bersatu… Jelas sekali berita palsu!” katanya.

Terdahulu, Annuar menegaskan, beliau tidak takut dipecat daripada UMNO jika kelantangannya bercakap mengenai isu penyatuan Melayu dan Islam tidak disenangi pemimpin tertinggi dan ahli akar umbi UMNO.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO berkata, sebenarnya apa yang dimahukannya adalah supaya UMNO terus memimpin muafakat parti Melayu dan Islam serta menolak perpecahan ummah.

“Saya tetap pertahan keputusan MKT. ‘No DAP, No Anwar ‘. Saya tetap mahukan UMNO memimpin muafakat parti Melayu dan Islam serta menolak perpecahan ummah.

“Kalau nak pecat kerana itu, silakan. Nak pertahan mereka yang mahu bawa parti sokong DAP dan Anwar, silakan,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.