Muhyiddin lawat mangsa banjir 2 lokasi di Johor

54

5 JAN: Dalam kesibukan dengan tugas sebagai Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sempat meluangkan masa kira-kira sejam melawat mangsa banjir di dua pusat pemindahan Johor, hari ini.

Ketibaan beliau pada jam 12 tengah hari di Kolej Vokasional Kota Tinggi disambut oleh Menteri Besar, Johor Datuk Ir Hasni Mohammad.

Turut kelihatan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani.

Sebaik sahaja tiba, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh mendengar taklimat daripada Pegawai Daerah Kota Tinggi, Farizal Ismail mengenai status banjir di daerah tersebut yang merupakan kawasan paling teruk terjejas banjir di Johor dengan 2,707 mangsa setakat ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir itu turut berkesempatan bertanya mengenai kebajikan kira-kira 126 mangsa daripada 28 keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan itu.

Beliau turut meluangkan masa kira-kira 15 minit melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara Sekolah Kebangsaan Laksamana yang menempatkan 156 orang daripada 35 keluarga dari kawasan Batu 25, Taman Aman serta Taman Mawai di sini, pada kira-kira jam 12.40 tengah hari.

Muhyiddin yang diiringi Hasni, Halimah serta ADUN Johor Lama, Rosleli Jahari, turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas kepada kesemua mangsa banjir di pusat pemindahan berkenaan.

Setakat jam 12 tengah hari tadi, mangsa banjir di Johor meningkat sedikit kepada 5,499 mangsa berbanding 5,485 pada jam 8 pagi tadi berikutan banjir di Mersing.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.