MCA belum terima notis pengguguran Annuar

152

5 JAN: Setakat ini MCA masih belum menerima sebarang notis rasmi rasmi daru Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) berhubung pengguguran Tan Sri Annuar Musa sebagai Setiausaha Agung BN.

Berikutan itu, MCA melahirkan rasa terkilan dengan pengguguran Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan daripada jawatan terbabit.

MCA dalam satu kenyataan hari ini berkata, keputusan pengguguran jawatan Ahli Parlimen Ketereh juga tidak pernah dirundingkan sesama parti komponen atau diputuskan dalam Dewan Tertinggi BN.

“Setakat ini, MCA masih tidak dapat mengesahkan kesahihan berita mengenai penyingkiran Annuar sebagai Setiausaha Agung BN.

“Pada hemat MCA, sebarang pelantikan ke jawatan dalam BN, ia perlu dibuat berlandaskan Perlembagaan BN dan secara konvensyennya pencalonan ini haruslah dibentangkan serta dipersetujui secara konsensus dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN.

“Begitu juga dengan sebarang pemecatan mana-mana pihak daripada jawatan seperti Setiausaha Agung dan Bendahari Agung BN,” menurut kenyataan itu.

Annuar digugurkan daripada jawatan Setiausaha Agung BN dan Setiausaha Bersama Muafakat Nasional (MN) hari ini.

Tempatnya digantikan oleh Datuk Seri Ahmad Maslan. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.