Kempen tanam 100 juta pokok hijaukan Malaysia

182

5 JAN: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengajak rakyat supaya bersama-sama kerajaan dalam menjayakan agenda penghijauan Malaysia menerusi Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025.

Muhyiddin berkata, Kempen Penanaman 100 Juta Pokok adalah sebahagian daripada Program Penghijauan Malaysia, satu daripada agenda nasional bagi perubahan iklim serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

Beliau berkata, program itu akan memulihara kepelbagaian biologi yang menjadi khazanah negara tidak ternilai, meningkatkan kualiti persekitaran semula jadi dan sungai.

“Kempen ini dijangka menyumbang kepada penyerapan karbon dioksida, di antara 30 juta tan di kawasan bandar hingga 85 juta tan di kawasan hutan dan lain-lain dalam setahun.

“Jadi kepada seluruh rakyat Malaysia, marilah bersama-sama menjayakan agenda penghijauan Malaysia dengan menanam 100 juta pokok di seluruh negara menjelang tahun 2025,” katanya dalam satu kenyataan selepas melancarkan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025 di perkarangan kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya, sebentar tadi.

Turut hadir, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah; Timbalannya, Ali Biju; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Zurinah Pawanteh.

Pelancaran Kempen Penanaman 100 Juta Pokok turut diadakan secara serentak di seluruh negara dengan tema ‘Penghijauan Malaysia: Pokok Kita, Kehidupan Kita’ atau ‘Greening Malaysia: Our Trees, Our Life’.

Perdana Menteri juga melancarkan kempen itu serta aplikasi mudah alih dan laman web khas Program Penghijauan Malaysia; www.100jutapokok.gov.my.

Program Penghijauan Malaysia adalah satu ikrar dan komitmen kerajaan yang berlandaskan Wawasan Kemakmuran Bersama untuk menyumbang kepada masa hadapan yang lebih hijau.

Kempen anjuran Kementerian Tenaga dan Sumber Asli itu dilaksanakan melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Jabatan Perhutanan di negeri-negeri, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan kerajaan negeri, menyasarkan penanaman 100 juta pokok menjelang 2025.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, melalui kempen terbabit, JPSM menganggarkan akan terdapat peningkatan kawasan hutan dipulihara sebanyak 20,000 hingga 80,000 hektar menjelang 2025, bergantung kepada jarak penanaman.

Perdana Menteri berkata, Kempen Penanaman 100 Juta Pokok bertujuan mempertahankan kekayaan alam semula jadi negara dalam semua aktiviti pembangunan sosioekonomi dan mengekalkan pengiktirafan ke atas Malaysia sebagai antara 12 negara ‘megadiverse’.

Sehingga kini, beliau berkata, Malaysia berjaya mencatatkan litupan hutan sebanyak 55.3 peratus selari dengan komitmen negara di Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro pada 1992, iaitu memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus keluasan tanah negara dilitupi pokok dan kawasan hutan.

Berikutan itu, Muhyiddin mengajak semua lapisan masyarakat, termasuk syarikat serta badan korporat untuk menyokong agenda nasional itu, Muhyiddin berkata, “Mulakan azam tahun baharu 2021 dengan bersama-sama menghijaukan bumi Malaysia! Pokok Kita, Kehidupan Kita”. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.