Ka Siong, Saifuddin turun padang bantu mangsa banjir

51

5 JAN: Kesibukan sebagai menteri Kabinet bukan penghalang untuk turun padang dan bekerja keras bagi membantu mangsa banjir yang memerlukan bantuan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong terus bergegas turun padang menziarahi mangsa banjir di Ayer Hitam selepas menghadiri mesyuarat di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam merakamkan penghargaan kepada agensi-agensi kerajaan yang telah bertungkus-lumus menguruskan pemindahan mangsa banjir ini.

“Sejak pusat pemindahan sementara (PPS) mula beroperasi pada 1 Januari 2021, para sukarelawan dari Pusat Khidmat Ahli Parlimen Ayer Hitam telah menghantar barangan keperluan makanan seperti makanan bungkus, biskut, air mineral, barangan keperluan dapur, pelitup muka, sanitizer dan bantal kepada mangsa banjir.

“Seramai 75 orang mangsa banjir dari 24 keluarga ditempatkan di 3 buah PPS di Kawasan Parlimen Ayer Hitam. Marilah kita bersama mendoakan agar banjir ini segera surut dan keadaan kembali pulih seperti biasa,” katanya menerusi kenyataan dalam Facebook miliknya, hari ini.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah turut melawat enam PPS di Kuantan dan Indera Mahkota, semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, pihaknya akan memastikan perkembangan terkini dari semasa ke semasa agar tiada perkara yang tidak diingini berlaku.

Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah menziarahi mangsa banjir di sekitar kawasan Kuantan dan Indera Mahkota.

“Pasukan Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Perdana Menteri (NADMA) serta agensi-agensi yang terlibat akan memantau perkembangan mengenai bencana ini dari semasa ke semasa.

“Saya telah melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Galing, SK Pelindung dan SK Beserah yang beroperasi sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi mendengar luahan hati serta menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban mereka yang terkesan.

“Di sebelah petang, turut menziarah warga IM yang terkesan serta meninjau operasi bantuan yang sedang giat dijalankan di PPS SK Sungai Karang, SK Kg Padang dan Dewan Orang Ramai Balok.

“Alhamdulillah, semua mangsa yang terkesan akibat banjir kini dalam keadaan selamat dan terkawal,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.