CAAM gantung sijil kebenaran latihan My Heli Club

30

5 JAN: Berkuat kuasa mulai hari ini, Sijil Kebenaran untuk Organisasi Latihan yang diluluskan kepada My Heli Club akan digantung sementara selama enam bulan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Kapten Chester Voo berkata, tindakan itu diambil berikutan dua kemalangan membabitkan tiga helikopter kendalian My Heli Club pada 8 November 2020 di Taman Melawati Selangor dan 1 Januari lalu di Pulau Indah, Klang, Selangor.

“Notis penggantungan telah dikeluarkan dengan serta merta. Penggantungan ini selaras dengan peraturan penerbangan awam Malaysia demi memastikan keselamatan semua anggota kelab dan pihak awam.

“Penggantungan sementara ini di bawah Peraturan 67, Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016. Bagaimanapun, My Heli Club masih dibenarkan untuk melakukan penerbangan persendirian tetapi dilarang melakukan penerbangan latihan buat masa ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Chester berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan dalam aspek pengawalseliaan mengenai kemalangan membabitkan helikopter dikendalikan My Heli Club.

Pada 8 November lalu, media melaporkan dua individu meninggal dunia selepas helikopter dinaiki mereka terhempas akibat perlanggaran di udara dengan sebuah helikopter lain di kawasan padang berhampiran sebuah sekolah di Taman Melawati di Kuala Lumpur, kira-kira jam 11 pagi tadi.

Sebuah lagi helikopter yang membawa Datuk Ahmad Jauhari Yahya yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines berjaya membuat pendaratan cemas di padang sekolah berkenaan. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.