Skandal daging: SPRM utamakan kejutan, kerahsiaan

93

4 DIS: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas pelbagai dokumen pengimportan sejak 2015 dalam beberapa serbuan terhadap syarikat pengimport daging sejuk beku haram di Johor, minggu lalu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, berkata pihaknya akan mengkaji semua dokumen dan akaun syarikat terbabit dalam usaha mengesan keseluruhan dalang termasuk anggota penguat kuasa yang terbabit melindungi kegiatan pengimportan daging haram terbabit.

Beliau berkata, siasatan SPRM tertumpu kepada dua aspek iaitu pertama, berhubung kesalahan mengemukakan pengisytiharan palsu dalam borang Kastam 1 oleh syarikat pengimport dan ejen yang mengendalikan kemasukan bahan mentah sejuk beku ini.

“Aspek kedua ialah meneliti dan mengkaji sebarang bentuk pembayaran rasuah melalui akaun syarikat yang terbabit.

“Dalam setiap penyiasatan kita, elemen kerahsiaan dan kejutan amat penting.

“Sekiranya sesuatu kes mendapat pendedahan yang luas di media massa, ia seolah-olah memberi peluang kepada mereka (perasuah dan pemberi) melupuskan semua bukti serta keterangan yang ada,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas tangkapan SPRM ke atas dua pengarah dan dua pekerja sebuah syarikat sebuah syarikat pengimport daging sejuk beku di Johor, malam tadi.

Ahmad Khusairi berkata, penahanan empat individu berkenaan mempunyai kaitan dengan isu rasuah dalam kes penyeludupan bahan mentah sejuk beku yang dipercaya dibawa masuk secara haram daripada beberapa negara yang tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa.

Beliau menambah, walaupun banyak pihak mengambil sikap berdiam diri, tunggu dan lihat namun tidak bermaksud agensi yang terbabit terlepas dari siasatan dan tiada tindakan bakal dikenakan.

Sebaliknya, Ahmad Khusairi memberitahu, SPRM sedang mengumpulkan bukti dan keterangan memerlukan masa dan analisis yang teliti.

“Kalau kita terlalu membincangkan isu ini dalam media, maka ia akan merumitkan penyiasatan dan memberikan persepsi negatif masyarakat,” katanya.

Jelas beliau lagi, penahanan empat individu itu adalah hasil serbuan di beberapa syarikat pengimport bahan mentah sejuk beku di sekitar negeri Johor.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.