RM8 juta bantuan asas disalur kepada mangsa banjir

112

4 JAN – Pelbagai keperluan asas seperti makanan kering, tilam, selimut dan bantal berjumlah RM8 juta akan disalurkan ke lapan depoh di seluruh negara untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Harun.

Rina berkata, sebanyak RM1 juta diperuntukkan bagi tujuan tersebut di Pahang, di mana setakat tengah hari tadi telah merekodkan jumlah mangsa seramai 10,739 orang daripada 3,319 keluarga yang ditempatkan di 201 pusat pemindahan sementara (PPS) di sembilan daerah.

“Petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga diingatkan untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta mengamalkan norma baharu seperti yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepanjang berada di PPS,”ujarnya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Sebelum itu, beliau melawat mangsa banjir di tiga PPS iaitu PPS Dewan Kampung Pia, Masjid Kampung Temau dan Sekolah Kebangsaan (SK) Kundang Patah dengan diiringi Pengarah JKM Pahang Zulkhairi Zainol Abidin di sekitar Raub kira-kira.

Setakat 1 tengah hari tadi, berdasarkan portal Info Bencana JKM enam negeri dilanda banjir iaitu Pahang, Johor, Selangor, Perak, Kelantan dan Terengganu melibatkan mangsa seramai 20,093 orang daripada 5,779 keluarga yang ditempatkan di 284 PPS.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.