Peronda SRS kawal harta mangsa banjir 6 negeri

29

4 JAN: Kementerian Perpaduan Negara telah menggerakkan seramai 1,187 peronda Skim Rondaan Sukarela (SRS) di kawasan kejiranan rukun tetangga di Pahang, Johor, Terengganu, Perak, Selangor dan Kelantan.

Mereka berperanan membantu menjaga keselamatan harta benda yang ditinggalkan oleh mangsa-mangsa banjir yang dipindahkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) serta memastikan tiada mangsa yang terkandas di kawasan banjir.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata operasi rondaan SRS ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Saya telah mengarahkan jentera SRS di seluruh negara untuk bersiap sedia menjalankan tugas-tugas kawalan keselamatan banjir di kawasan-kawasan lain yang mungkin akan dilanda banjir,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Rondaan SRS ini akan dilaksanakan pada setiap hari melalui penggiliran tiga syif dan melibatkan sekurang-kurangnya lima orang peronda pada setiap syif.

Dalam pada itu, Halimah memberitahu pasukan Skuad Uniti di semua daerah berkaitan turut diarahkan terlibat di dalam Operasi Bantu Mula Bencana Banjir yang dijalankan oleh agensi lain.

“Bantuan Skuad Uniti ini melibatkan pemindahan mangsa ke PPS, menyelamatkan harta benda, penyampaian sumbangan barang keperluan dan pembersihan rumah mangsa,”katanya.

Sementara itu, beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa semasa operasi pemindahan mangsa banjir ini serta menjaga kebersihan bagi mengelakkan penularan COVID-19,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.