Nilai pampasan HSR yang tular hanya spekulasi

78

4 JAN: Sebarang angka mengenai pampasan yang perlu dibayar oleh kerajaan Malaysia kepada Singapura kerana membatalkan projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) adalah spekulasi semata-mata.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Malaysia sedang menunggu butiran kos tersebut daripada Singapura, dan sebaik sahaja diterima, ia akan diteliti sebelum disahkan.

Menurut beliau, jenis-jenis tuntutan yang dibenarkan telahpun dipersetujui bersama.

MUSTAPA MOHAMED
MUSTAPA MOHAMED

“Walaupun saya amat berkeinginan untuk berkongsi perinciannya, ianya tidak dapat dilakukan kerana jumlahnya belum dimuktamadkan lagi.

“Sehubungan ini, saya ingin menegaskan bahawa pampasan tersebut bukanlah bersifat punitif, tetapi adalah untuk membayar semula kos tertentu projek yang telah dibelanjakan Singapura,” katanya dalam kenyataan melalui laman Facebook beliau, hari ini.

Mustapa mengulas tentang spekulasi disebarkan pelbagai pihak berhubung nilai pampasan yang perlu dibayar oleh kerajaan Malaysia kepada Singapura berikutan pembatalan projek HSR seperti yang diumumkan secara bersama oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong.

Namun, Mustapa memberitahu, jumlah pampasan tidak boleh didedahkan kerana di bawah perjanjian dua hala, kedua-dua negara terikat dengan klausa kerahsiaan.

Beliau dan pasukannya akan berbincang dengan pihak Singapura untuk mendapat persetujuan bagi berkongsi maklumat mengenai jumlah pampasan tersebut setelah ia dimuktamadkan.

Mustapa menambah, kerajaan akan melaksanakan kajian terperinci bagi menentukan hala tuju seterusnya dan pada masa ini, apa-apa spekulasi mengenai projek kereta api laju Kuala Lumpur – Johor Bahru hanyalah spekulasi.

Sebagai individu yang terlibat secara langsung dalam perbincangan dua hala sejak enam bulan lepas, beliau menegaskan bahawa pihaknya telah melakukan yang terbaik demi menjaga kepentingan negara.

“Walau bagaimanapun, saya ingin berkongsi dengan semua bahawa perbincangan antara kedua negara telah berlangsung dalam suasana mesra dan membina.

“Hubungan Malaysia dan Singapura adalah amat rapat dan kedua-dua negara berhasrat untuk mengukuhkan lagi hubungan akrab ini,” jelasnya.

Sesuai dengan hasrat tersebut, kata Mustapa, Malaysia akan terus mengadakan perbincangan untuk mempertingkatkan kesalinghubungan antara kedua-dua negara untuk manfaat bersama.
“Walaupun perjanjian dua hala ini telah luput, Malaysia dan Singapura akan terus bekerjasama rapat dalam mengukuhkan integrasi rentas sempadan bagi memastikan pertumbuhan dan kemajuan ekonomi yang mampan di kedua-dua negara.

“Kemungkinan untuk menghubungkan kedua-dua negara melalui kesalinghubungan berkelajuan tinggi pada masa hadapan akan terus diterokai. Walaupun hasrat ini tidak tercapai sekarang, mungkin satu masa nanti,” katanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.