Menteri redah banjir bantu mangsa terjejas

916

4 JAN: Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) tidak menghalang wakil-wakil rakyat di Pahang untuk turun padang dan bekerja keras bagi membantu mangsa banjir.

Banjir yang bertandang susulan hujan berlarutan sejak kelmarin yang menyebabkan air sungai di Pahang telah melebihi paras bahaya. 

Berikutan itu, wakil-wakil rakyat di Pahang bersama para petugas pusat khidmat di kawasan Parlimen masing-masing bertindak segera menghulurkan bantuan dan dilihat membantu mangsa banjir ke kawasan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang berdekatan.

Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah adalah antara menteri yang sanggup mengharungi air banjir bagi membantu memindahkan penduduk kampung dan mangsa banjir yang terperangkap.

Menurut beliau, sebagai Ahli Parlimen Paya Besar, beliau akan cuba membantu sebaik mungkin menguruskan mangsa banjir yang di kawasannya yang terjejas.

“Kesusahan anda adalah kebimbangan saya! Kita lalui semua ini bersama-sama. Saya ingin berpesan kepada semua orang untuk sentiasa berhati-hati 

“Dan sentiasa berwaspada dengan keadaan banjir yang melanda di sesetengah tempat.  Kurangkan pergerakan masing-masing dan pantau anak-anak supaya mereka tidak main di kawasan banjir,” katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya, semalam. 

Sementara itu, Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad menerusi Facebooknya hari ini memberitahu, beliau memandu sendiri kenderaan untuk melawat PPS di sekitar daerah tersebut. 

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I berkata, dalam usaha membantu mangsa banjir, terdapat sebuah kenderaan pasukannya ditenggelami air ketika menyampaikan bantuan, namun sedikit pun tidak mematahkan semangat mereka untuk terus membantu mangsa yang memerlukan pertolongan. 

“Saya pandu kenderaan 4×4 saya sendiri ketika misi menghantar bantuan memandangkan jumlah mangsa yang terlibat semakin meningkat.

“Saya telah melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di SJK (C) Chung Hwa yang menempatkan seramai  66 keluarga yang terlibat dalam bencana hari ini.

“Saya serahkan sedikit bantuan tadi, dan sempat  beritahu semua semoga kuat dan tabah hadapi ujian ini,” katanya. 

Terdahulu, menerusi laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kuantan setakat jam 12 tengahari tadi, situasi banjir di Pahang semakin buruk dengan 10,467 mangsa daripada 3,263 keluarga sudah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS). 

Peningkatan mendadak jumlah mangsa banjir itu berbanding 8,273 mangsa daripada 2,840 keluarga pada 9 pagi dan kesemua mangsa ditempatkan di 198 PPS di sembilan daerah iaitu Kuantan, Temerloh, Maran, Rompin, Jerantut, Raub, Lipis, Bentong dan Pekan.

Kuantan mencatatkan jumlah tertinggi dengan 3,152 mangsa daripada 850 keluarga yang ditempatkan di 35 PPS, diikuti Maran yang membuka 36 PPS untuk 1,858 mangsa daripada 1,027 keluarga.

Raub mempunyai 1,493 mangsa daripada 424 keluarga di 46 PPS; Jerantut (28 PPS) 1,235 mangsa daripada 267 keluarga; Lipis (22 PPS) 1,062 mangsa daripada 267 keluarga dan Temerloh menempatkan 593 mangsa daripada 155 keluarga di 14 PPS.

Rompin pula membuka lapan PPS bagi 722 mangsa daripada 190 keluarga; Pekan (6 PPS) mencatatkan 133 mangsa membabitkan 29 keluarga serta Bentong (3 PPS) 219 mangsa daripada 54 keluarga. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.