MEDAC salur dana RM17.1j pulih usahawan, koperasi

82

4 JAN: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) melancarkan fasa kedua Pelan Pemulihan Usahawan dan Koperasi dengan peruntukan RM17.1 juta bermula bulan ini hingga Mei depan.

Pelan itu bertujuan memastikan kelestarian operasi perniagaan usahawan termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), koperasi, usahawan sosial, startup dan usahawan informal.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata fasa kedua itu berlandaskan pendekatan 5E iaitu ‘enculture, enable, empower, energise dan engage’.

Menurut beliau, pelan berkenaan merupakan hala tuju MEDAC bagi 2021 untuk membangun lebih sejuta PMKS sebagai tulang belakang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Wan Junaidi menjelaskan, fasa pertama Pelan Pemulihan Usahawan dan Koperasi yang bermula Mei hingga Disember 2020 telah melaksanakan 20 program dengan peruntukan RM171 juta yang memanfaatkan 12,138 orang, sebanyak 96.52 peratus daripadanya adalah bumiputera.

Pada majlis amanat MEDAC dan pelancaran hala tuju 2021 yang berlangsung di Putrajaya hari ini, beliau berkata, dua perkara utama tahun ini iaitu pelaksanaan 5E dan pelancaran Pelan Transformasi Koperasi Malaysia 2021-2025 (TransKoM) dalam masa terdekat akan memastikan gerakan koperasi memberi manfaat kepada kesejahteraan anggota koperasi, di samping memastikan koperasi berdaya saing, lestari dan mampan.

“Dengan keahlian melebihi enam juta, sektor koperasi merupakan platform terbaik untuk meningkatkan tahap pendapatan dan sosio-ekonomi masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Junaidi menambah, TransKoM mensasarkan sebuah Institusi Pendidikan Tinggi yang mengkhususkan kepada pendidikan koperasi dan keusahawanan.

Ditanya kos yang terlibat untuk TransKoM, beliau berkata sudut kewangan bagi proses transformasi melibatkan pembangunan asas dan pengurusan untuk menggalakkan penglibatan anak muda, tidak membimbangkan kerana pihak koperasi mempunyai modal pusingan RM350 juta yang boleh diguna pakai untuk TransKoM.

Sementara itu, Wan Junaidi memberitahu, satu kertas Kabinet akan dibentangkan berhubung cadangan untuk setiap bantuan yang disalurkan kerajaan adalah sejajar dengan keperluan usahawan.

“Contohnya ada PMKS tidak mendaftarkan perniagaan kerana risau tidak layak menerima BSH (Bantuan Sara Hidup). Kalau tidak didaftar (perniagaan) susah untuk kerajaan bantu dan mereka tidak dilindungi dari segi insuran.

“Namun kebimbangan usahawan ada asas, contoh kalau daftar syarikat menjadi director, maka BSH tidak layak terima, Jadi MEDAC akan membawa isu ini kepada kerajaan supaya jangan dihukum orang daftar syarikat dengan tidak memberi bantuan kalau mereka masih dalam B40,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.