Mangsa banjir di Pahang, Selangor,Perak,Terengganu meningkat

98

4 JAN : Angka mangsa banjir di negeri Pahang terus meningkat kepada 13,626 di mana kesemua mangsa telah ditempatkan di 200 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang beroperasi di sembilan daerah di negeri tersebut.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan daerah Maran mencatatkan jumlah mangsa paling ramai sebanyak 3,926, diikuti daerah Kuantan seramai 3,314 mangsa; Raub (1,688); Jerantut (1,458); Lipis (1,122); Temerloh (900); Rompin (772); Bentong (253) dan Pekan (193).

Mangsa banjir di Selangor pula meningkat kepada 174 orang dan dua lagi PPS telah dibuka di Hulu Bernam dan Bestari Jaya.

Manakala di Perak, jumlah mangsa banjir di empat daerah iaitu Muallim, Hilir Perak,Kuala Kangsar dan Kampar kini mencecah lebih 1,000 orang berbanding 894 orang tengah hari tadi.

Terengganu pula merekodkan jumlah mangsa banjir meningkat kepada 1,044 orang dengan mangsa di daerah Kemaman bertambah kepada 844 orang. Berikutan itu,  tiga lagi PPS telah dibuka di Surau Haji Othman, Masjid Tebak Batu 16 dan Dewan Orang Ramai Felda Seberang Tayor.

Dalam pada itu, syarikat ANIH Berhad memaklumkan setakat 5 petang, KM84.6-KM84.7 Lanchang di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) masih ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan kerana dinaiki air sedalam 1 meter menerusi satu kenyataan hari ini.

Di Johor pula, angka mangsa banjir menurun kepada 6,244 mangsa berbanding 6,991  pada 12 tengah hari tadi berikutan penutupan 10 PPS di beberapa daerah terjejas banjir.

Setakat ini, daerah Kota Tinggi  mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 2,661 mangsa, diikuti dengan Kluang seramai 2,123 mangsa dan Kulai sebanyak 585 mangsa.

Beberapa jalan masih ditutup termasuk di Jalan Kota Tinggi-Mersing (Kubu), Jalan Kota Tinggi-Mersing (Batu 16), Jalan Kota Tinggi-Mersing (Risda), Jalan Kota Tinggi-Kluang (arked Mara), Jalan Lok Heng/Mawai/Sungai Mas (Jambatan Sungai Semalok), Jalan Tai Hong, Jalan Tai Hong (rumah kampung), Jalan Tun Sri Lanang, Jalan Semanggar (jambatan), Jalan Mawai Lama dan Jalan Sungai Telor.

Manakala, jumlah mangsa banjir di Gua Musang, Kelantan masih kekal sehingga petang ini dengan seramai 322 mangsa di tiga PPS iaitu 279 mangsa daripada 68 keluarga.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.