Kes positif cecah 120 ribu, 1,741 kes baharu

4 JAN : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini berkata pihaknya telah mengesan 1,741 kes harian baharu dan menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 120,818 kes. Manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 22,089 kes.  

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat lapan kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 1,733 kes.

“Selangor terus kekal melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 687 kes (39.5 peratus). Daripada jumlah ini, sebanyak 541 kes (78.7 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti oleh Sabah sebanyak 303 kes (17.4 peratus) dan Johor sebanyak 295 kes (16.9 peratus),” jelasnya dalam sidang media Covid-19 hari ini.

Tambah beliau, sebanyak 32 kes (1.8 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara.

“Ia membabitkan Kluster Telok Mas (10 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (9 kes), Kluster Tembok Choh (6 kes), Kluster Tembok Gajah (3 kes), Kluster Tembok (2 kes), Kluster Tembok Mempaga (1 kes), dan GK Tawau (1 kes),”ujarnya.

Sehingga kini kata Noor Hisham lagi,  terdapat 122 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 53 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Bilangan kes sembuh Covid-19 hari ini pula adalah sebanyak 1,010 kes. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 adalah sebanyak 98,228 kes (81.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Dukacita juga dimaklumkan, terdapat pertambahan tujuh kes kematian COVID-19 pada hari ini melibatkan tiga di Sabah, satu di Selangor dan Pahang dan dua kes di Johor.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 501 kes (0.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” jelasnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.