Kerajaan Kelantan cadang tambah pusat kuarantin

4 JAN : Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Kelantan, Dr Izani Husin berkata, kerajaan negeri bercadang untuk membuka beberapa lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) bagi menampung jumlah pesakit yang kini semakin meningkat di negeri itu.

Menurut beliau, setakat ini, bilangan pesakit COVID-19 yang ditempatkan di tiga hospital iaitu Hospital Raja Perempuan Zainab 2, Hospital Kuala Krai dan Hospital Tumpat sudah mencecah 90 peratus.

“Kerajaan negeri bercadang untuk membuka beberap pusat kuarantin ini kerana bimbang dengan statistik peningkatan jumlah jangkitan, sedangkan dalam masa yang sama kapasiti di hospital tersebut tidak mencukupi.

“Pihak kerajaan juga sedang mengenal pasti beberapa kawasan termasuk di Ketereh dan Panji untuk menempatkan pesakit yang positif COVID-19,”jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau PKRC di Dewan Jubli Perak MPKB di sini hari ini.

Dr Izani berkata, PKRC di Dewan Jubli Perak MPKB yang kini hampir siap boleh menempatkan 120 katil yang akan diselia oleh Dr Mohd Azman Yaakob.

“32 pesakit disahkan positif COVID-19 yang sebelum ini ditempatkan di Kolej Jururawat  akan dipindahkan ke PKRC Dewan Jubli Perak MPKB berkenaan.

“Kesemua yang ditempatkan di PKRC berusia 45 tahun ke bawah, tiada penyakit lain dan pesakit disahkan positif tidak mempunyai simptom. Mereka dikuarantin selama 10 hari selepas ujian swab pertama,” ujarnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.