Henti kritik secara terbuka, gunakan Majlis Presiden PN

146

4 JAN: Kenyataan terbuka mengkritik rakan sehingga menguris hati sesama sendiri perlu dihentikan oleh semua pemimpin parti politik yang mendukung kerajaan Perikatan Nasional.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, segala permasalahan yang berbangkit haruslah diputuskan dan dicapai bersama menerusi Majlis Presiden PN bagi mengelakkan ahli terkeliru mengenai hala tuju setiap parti.

“Bukan hanya UMNO, tetapi termasuk PAS, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan parti lain. Saya berharap Majlis Presiden (PN) lebih aktif. Kalau boleh seminggu sekali buat mesyuarat untuk dapatkan kata sepakat.

“Apabila kata sepakat dicapai, semua jentera UMNO, PAS, Bersatu dan lain-lain dapat sampaikan hasrat Majlis Presiden kepada rakyat dan ahli,” katanya, hari ini.

Razlan
MOHD RAZLAN RAFII

Justeru itu, Mohd Razlan memberitahu ketua parti harus dibenarkan memainkan peranan mereka dalam menyuarakan isu berbangkit menerusi Majlis Presiden PN bagi mengelak sebarang kecelaruan berlaku yang boleh merutuhkan muafakat setiap parti.

“Saya sarankan sebelum kita menuju pilihan raya umum (PRU) setiap ketua perlu memainkan peranan untuk membuat keputusan melalui Majlis Presiden.

“Ahli dan pemimpin lain perlu kurangkan kenyataan melalui media dan elak daripada menguris hati sesama kita.

“Biarlah pucuk pimpinan melalui Majlis Presiden yang diwujudkan itu berbincang dan apa juga keputusan yang mereka buat kita perlu ikut,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, asas pembentukan kerajaan PN adalah penyatuan orang Melayu khususnya setelah kerajaan Pakatan Harapan (PH) dilihat gagal mengurus hal berkaitan kaum tersebut dan agama Islam.

Tambah beliau, parti Melayu dalam PN perlu bersatu di samping memperkukuhkan kerjasama dan mengelak perpecahan, termasuk dalam isu pembahagian kerusi dan parti mana lebih dominan bagi mengelak orang Melayu hilang keyakinan.

“Untuk kita terus bergerak ke hadapan, kita (parti Melayu dalam PN) tidak boleh keluar daripada kerangka sokongan majoriti orang Melayu secara maksimum,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.