Bapa lemas, anak hilang dibawa arus

56

4 JAN: Seorang kakitangan Pejabat Hutan Daerah Jerantut menjadi mangsa pertama terkorban akibat banjir yang melanda Pahang sejak semalam. 

Lebih menyedihkan, seorang anaknya juga turut hilang dibawa arus semasa meredah banjir di Kampung Gintong, kira-kira 100 kilometer dari sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan berkata, mangsa Zulkarnain Hitam, 58, ditemui mati lemas sekitar 10.30 malam, dipercayai akibat dihanyutkan arus deras semasa berjalan kaki pulang ke rumah bersama tiga anak lelakinya selepas memindahkan kereta ke kawasan tinggi.

Menurut beliau, seorang daripada anak lelakinya, Ukai Iskandar, 23, yang merupakan penuntut Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Gambang di sini, turut hilang dalam kejadian itu dan sehingga pagi ini masih belum ditemukan.

“Kesemua mereka difahamkan berjalan kaki dari Kampung Gintong untuk pulang ke rumah di Taman Perdana yang terletak kira-kira dua kilometer dari lokasi tempat Iskandar meletak kenderaan semasa kejadian berlaku,” katanya hari ini. 

Dalam pada itu Mazlan memberitahu dua lagi anak mangsa yang berusia 15 dan 13 tahun bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh orang awam.

“Operasi mencari Ukai yang dimulakan sekitar 11 malam melibatkan 17 anggota pasukan mencari dan menyelamat terpaksa dihentikan pada 3.30 pagi ekoran cuaca yang semakin buruk.

“Saya orang ramai agar berwaspada dengan perkembangan banjir dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa sepanjang musim banjir bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,”katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.