Annuar tak takut dipecat, utamakan penyatuan Melayu

308

4 DIS: Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa menegaskan beliau tidak takut dipecat daripada UMNO jika kelantangannya bercakap mengenai isu penyatuan Melayu dan Islam tidak disenangi pemimpin tertinggi dan ahli akar umbi UMNO.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO berkata, sebenarnya apa yang dimahukannya adalah supaya UMNO terus memimpin muafakat parti Melayu dan Islam serta menolak perpecahan ummah.

“Saya tetap pertahan keputusan MKT. ‘No DAP, No Anwar ‘. Saya tetap mahukan UMNO memimpin muafakat parti Melayu dan Islam serta menolak perpecahan ummah.

“Kalau nak pecat kerana itu, silakan. Nak pertahan mereka yang mahu bawa parti sokong DAP dan Anwar, silakan,” katanya dalam kenyataan melalui Facebook hari ini.

Menteri Wilayah Persekutuan itu dipercayai merujuk laporan berita memetik Pemuda UMNO Bahagian Pasir Puteh yang mengusulkan supaya beliau dipecat darpadai parti berkenaan.

Usul dicadangkan Ketua Pemuda UMNO bahagian terbabit, Muhammad Saifullah Ali ketika mesyuarat perwakilan pergerakan itu kelmarin, antara lain mendakwa Annuar kononnya menjadi jurucakap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Mengulas lanjut, Annuar berkata, usul berkaitan rakyat serta kedudukan Melayu dan Islam kurang diketengahkan dalam mesyuarat UMNO bahagian kali ini.

“Saya mula aktif dalam UMNO 40 tahun lalu. Setiap tahun hadiri mesyuarat perwakilan bahagian. Lazimnya UMNO kuat berbincang soal Melayu dan Islam, usul hal rakyat, tapi tahun ini itu semua tidak kedengaran.

“Yang kita dengar ialah seruan penolakan dan perpecahan sesama Melayu dan serang menyerang sesama sendiri. DAP sudah boleh senyum,” katanya.

Beliau juga berkata, di Kelantan, satu demi satu bahagian dan parlimen yang dulunya kubu UMNO bertukar menjadi kubu parti lawan dan berharap situasi itu tidak berlaku di peringkat nasional. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.