PKPB dua mukim di Kota Bahru bermula esok

156

3 JAN: Kerajaan hari ini mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Mukim Peringat dan Mukim Kota di Kota Bharu, Kelantan bermula esok sehingga 17 Januari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perintah tersebut dilaksanakan berikutan peningkatan ketara kes positif Covid-19 di lokaliti terbabit hasil laporan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut beliau, dua mukim itu menyumbang kes tertinggi di daerah Kota Bharu membabitkan dua kluster iaitu Kluster Halban dan Kluster Pintu Geng.

“Atas nasihat dan penilaian risiko Kementerian Kesihatan (KKM), kerajaan bersetuju melaksanakan PKPB di dua mukim berkenaan di bawah daerah jajahan Kota Bharu bermula 4 sehingga 17 Januari ini.

“Pelaksanaan PKPB ini bagi membolehkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar dan mengurangkan pergerakan dalam kalangan komuniti di kedua-dua mukim itu,” katanya menerusi kenyataan media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri mengesahkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Depot Tahanan Imigresen Langkap dan Kuarters Kakitangan, Hilir Perak, Perak ditamatkan hari ini, iaitu 11 hari lebih awal daripada dijadualkan.

“Sehingga kini, KKM selesai melaksanakan ujian saringan ke atas semua tahanan dan kakitangan.

“KKM turut mengesahkan kes positif harian di depot tahanan itu menunjukkan trend penurunan dan terkawal serta tiada lagi sampel menunggu keputusan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.