‘Masalah’ UMNO-Bersatu datang dari individu kalah bertanding

3 JAN : Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berharap agar pihak tertentu di dalam UMNO tidak bertindak mengeruhkan hubungan antara UMNO dan Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dengan desakan menolak kerjasama parti tersebut.

Sambil menyifatkan ‘masalah’ hubungan antara UMNO dan Bersatu ini datangnya dari individu yang kalah bertanding, beliau berkata tidak ada sebabnya ahli UMNO mahupun ahli parlimen UMNO untuk berbuat demikian.

“Saya minta semua Ahli Parlimen UMNO untuk meneruskan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).

“Tidak ada isu kononnya jangan sokong kepimpinan Muhyiddin dan sebagainya kerana saya sendiri tahu, bahawa kita yang minta Muhyiddin jadi Perdana Menteri dan UMNO sepatutnya mendukung perkara ini kerana telah menubuhkan kerajaan bersama Muhyiddin.

“Saya amat hairan kerana yang menyuarakan masalah-masalah ini (tidak sokong) adalah orang-orang yang kalah, bukan di kalangan individu yang menang dalam pilihan raya.

“Jadi saya harap janganlah cuba mengeruhkan situasi,” tegasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sidang media selepas mesyuarat UMNO Bahagian Putrajaya di sini hari ini.

Sehubungan itu, UMNO Bahagian Putrajaya hari ini membuat ketetapan menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri walaupun terdapat gesaan agar parti itu menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau berkata, bahagian Putrajaya juga kekal dengan ketetapan menolak kerjasama dengan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, DAP dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad seperti yang diputuskan Majlis Kerja Tertinggi UMNO sebelum ini.

Sementara itu, beliau turut menasihati ahli-ahli UMNO agar jangan percaya dengan desas-desus yang mendakwa Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan meninggalkan UMNO.

“Hishammuddin seorang pemimpin yang rasional dan akan terus bersama dengan UMNO.

“Jangan kita ada syak wasangka kerana macam-macam yang ditulis di media sosial, ini durjana yang paling besar, kadang-kadang saya pun tak baca,” katanya.

Terdahulu, Tengku Adnan memberitahu perwakilan  dalam ucapannya, bahawa beliau merupakan antara individu yang terlibat menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan meminta Muhyiddin menerajui kerajaan.

“Ini kerana saya tahu apa yang kita lakukan adalah demi agama, bangsa dan negara, dan yang terpenting ialah usaha kita untuk terus memuliakan Islam dan memartabatkan kedudukan orang Melayu,” jelasnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.