Khairy jamin vaksin Covid-19 selamat digunakan

37

3 JAN: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin menegaskan ,Malaysia bukanlah negara pertama yang akan menggunakan vaksin Covid-19 di mana Amerika Syarikat dan England telah pun menggunakan vaksin tersebut dan terbukti ia selamat.

Justeru, beliau memberi jaminan vaksin Covid-19 yang beli oleh negara ini adalah selamat kerana ia sudah diuji secara klinikal kepada puluhan ribu orang sebelum ini di luar negara.

“Vaksin yang bakal tiba di Malaysia pada Februari nantia tidak perlu diuji lagi kerana ia sudah diuji secara klinikal kepada puluhan ribu orang.

“Harus diingat bahawa Malaysia bukan negara pertama menerima vaksin COVID-19 dan kita dapat lihat daripada maklumat bahawa vaksin yang sudah digunakan di Amerika Syarikat dan England, adalah selamat.

“Setakat ini kita tidak dengar ada isu vaksin dan masalah kesihatan atau kesan sampingan yang negatif. Apa yang kita dengar sebelum ini yang tular dalam media sosial mengatakan ada jururawat pengsan seperti kononnya disebabkan vaksin, itu sebenarnya tiada kaitan dengan vaksin,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rembau 2020 hari ini.

Sehubungan itu, Khairy berkata, rakyat tidak harus bimbang kerana semua vaksin yang dibeli kerajaan sudah diuji keberkesanannya.

“Kerajaan sekarang ini sedang melihat dari segi maklumat klinikal yang diberikan oleh syarikat pembekal vaksin. Apabila Kementerian Kesihatan (KKM) berpuas hati dengan maklumat itu, maka selamatlah kita menggunakan vaksin terbabit. Malah, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan juga sudah buat kenyataan bahawa penggunaan vaksin ini adalah harus,” ujarnya.

Tambahnya, kerajaan melalui kementerian terbabit akan memberikan penerangan kepada orang ramai berhubung keselamatan dan keberkesanan vaksin berkenaan bagi meredakan kerisauan rakyat.

“Kita juga akan memastikan Pelan Vaksinasi Kebangsaan berjalan lancar dan satu mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 akan diadakan pada Khamis ini bagi memuktamatkan pelan berkenaan,”katanya lagi.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan tahun baharunya, memberi jaminan kerajaan akan memastikan bekalan vaksin yang berkesan, selamat dan mencukupi untuk sekurang-kurangnya 80 peratus rakyat negara ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.