Cari formula elak bertanding sesama sendiri

105

3 JAN: Semua parti-parti politik Melayu di dalam Perikatan Nasional (PN) mesti mencari formula bagi mengelak daripada bertembung sesama sendiri supaya tidak timbul sebarang masalah yang menjadi punca kekalahan di dalam PRU ke 15 akan datang.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, UMNO, PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak boleh bertanding melawan antara satu sama lain yang akan merugikan dan menggagalkan agenda perpaduan parti-parti politik Melayu.

“Sebaliknya, semua parti perlu bekerjasama dan memastikan ia dapat dilaksanakan demi masa depan orang Melayu, Islam dan Bumiputera,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat UMNO Bahagian Bera, Pahang, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan beberapa pemimpin UMNO yang memberi gambaran bahawa UMNO hanya akan bekerjasama dengan PAS dalam PRU-15, tetapi tidak bersama BERSATU.

Dalam pada itu, Ismail Sabri yang juga Ketua UMNO Bahagian Bera memberitahu sehingga kini perbincangan mengenai pembahagian kerusi untuk PRU-15 sedang berjalan.

“Setakat ini, rundingan dengan PAS mengenai kerusi untuk pilihan raya 70 peratus sudah selesai, namun dengan BERSATU masih belum lagi dilaksanakan. ni adalah persefahaman yang dipersetujui bersama dan pertikaian mengenai kerusi hanya menyebabkan kekalahan seperti yang kita alami pada 2018.

“Pada asasnya, kami semua bersetuju bahawa apabila UMNO meletakkan calon, PAS dan BERSATU tidak akan bertanding di kawasan itu sama ada di peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, mempengerusikan mesyuarat pengagihan kerusi bersama PAS dan dimaklumkan perbincangan itu sudah hampir selesai,” katanya.

Mengenai desakan akar umbi supaya UMNO meninggalkan PN, Ismail Sabri menegaskan UMNO tidak pernah bergabung dengan PN.

“Adalah tidak betul untuk meminta kita meninggalkan PN kerana UMNO tidak pernah bergabung dengan PN. Pada masa ini kita akan mengekal status quo,” jelasnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.