PRU-15: UMNO mesti berpakat dengan PAS, Bersatu

2 DIS: UMNO perlu berpakat dan menjalinkan kerjasama rapat dengan parti Melayu Islam yang lain termasuk PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa, berkata tindakan berkenaan penting kerana UMNO dikhuatiri akan kalah teruk jika bertanding secara ‘solo’ pada PRU-15, sekali gus memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH) yang sekarang diterajui oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP untuk kembali berkuasa.

Annuar yang juga Ahli Parlimen dan Ketua UMNO Bahagian Ketereh berkata UMNO tidak boleh ada superiority complex dengan berasa kuat dan gagah seperti dahulu iaitu sebelum kalah dalam PRU-14 lalu.

Annuar Musa
Annuar Musa berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Ketereh di Kota Bharu, Kelantan hari ini.

“Kalau kita lupa sejarah maka kita akan melakukan kesilapan sama berkali-kali kerana enggan belajar dari sejarah. Punca utama kita kalah teruk dalam PRU-14 adalah kita terlalu yakin rasa tidak boleh kalah walaupun berada di ambang kekalahan.

“Kita juga dibisikkan di telinga bahawa BN/UMNO mampu menang dua pertiga majoriti di Parlimen kerana ada siulan lagu enak bahawa rakyat masih bersama BN, maka kita akan menang dua pertiga.

“Pada waktu itu, kalau sesiapa menegur kita maka dia akan dipecat dari UMNO, walaupun ada suara meminta pemimpin tertentu mengundurkan diri tetapi kita tetap mempertahankan.

“Kalau ada pemimpin yang tidak selari dengan pimpinan tertinggi maka dia akan dipecat dan saya mengaku bahawa sayalah antara orang yang menyokong perbuatan sedemikian untuk memecat orang yang tidak sehaluan dengan jemaah besar kononnya untuk mendapatkan dua pertiga.

“Kita berasa kuat kerana sumber dan dana politik, jentera dan pegawai kerajaan serta kuasa berada dalam tangan kita, tetapi kita memilih dengan berpecah bukan mencari kekuatan dengan berpadu. Jadi renungkanlah apa rasa kita sebelum dan selepas kalah dalam PRU-14,” katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Ketereh di Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Mengulas lanjut, Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, undi ahli UMNO dan penyokong BN sahaja tidak mampu memberikan kemenangan kepada UMNO, pada PRU-15 nanti.

“Kalau UMNO pergi solo dan kalah, (akibat bertanding 3 penjuru). Yang menang pasti PKR Anwar Ibrahim dan DAP Lim Guan Eng.

“Ahli UMNO sahaja tidak cukup untuk menang PRU-15. Kita perlukan sokongan majoriti rakyat,” katanya.

Berikutan itu, Annuar mengingatkan pemimpin UMNO supaya jangan melakukan sesutau yang menyebabkan rakyat berasa muak dan menolak mereka sekali lagi dalam PRU-15 nanti.

“Pemimpin dan ahli UMNO diingatkan supaya jangan mengejar yang sedikit sehingga kehilangan yang banyak. Awas jangan jadi seperti perumpamaan ‘yang dikejar tidak dapat yang dikendong berciciran dalam perjuangan.

“Jangan pula kita menjadi ‘menang sorang kampung tergadai’. Tidakkah belum cukupkah Allah SWT menguji parti kita (UMNO) dan bertanyalah UMNO kalah kerana apa?” katanya.

Dalam pada itu UMNO Bahagian Ketereh mengemukakan tujuh usul kepada barisan kepemimpinan parti termasuk menyokong sebarang usaha memperkasa Muafakat Nasional (MN) dan memperteguhkan muafakat antara BN, Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah sebagai persiapan satu lawan satu menentang Pakatan Harapan (PH) pada PRU-15.

Berikutan itu, UMNO Ketereh juga menggesa pucuk pimpinan parti agar terus berunding secara bijaksana dengan parti sahabat dan sealiran sehingga terujud satu persefahaman yang padu ke arah menghadapi PRU15.

Perkara itu antara tujuh usul dikemukakan oleh UMNO Ketereh bagi memastikan parti berkenaan mampu meraih kemenangan cemerlang dan mengelak pertembungan sesama sendiri dalam PRU-15 nanti.

Selain itu, UMNO Ketereh akan menyokong kerjasama dengan mana- mana parti yang mempunyai aspirasi dan perjuangan sama di dalam mempertahankan agama Islam, hak Melayu serta bumiputera, Raja-raja Melayu, bahasa Melayu dan apa- apa saja mengenai keistimewaan Melayu dan Bumiputera berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

UMNO Ketereh juga konsisten kekal dengan pendirian sepertimana yang diputuskan oleh Majlis Tertinggi UMNO berhubung kerjasama politik menjelang PRU-15 akan datang iaitu menolak kerjasama dengan DAP dan Anwar. “No DAP No Anwar” atau sesiapa saja yang bersekongkol dengan DAP.

Mereka juga sepakat mengusulkan untuk UMNO memperkukuh dan memperteguh ikatan silaturrahim bukan sahaja dalam kalangan ahli-ahli UMNO tetapi juga mempererat hubungan kerjasama dalam kalangan orang Melayu, pertubuhan bukan kerajaan berteraskan kepentingan Melayu dan parti politik Melayu.

Bagaimanapun, ini tidak bermakna UMNO akan mengetepikan kepentingan kaum lain atas semangat negara bangsa Malaysia tercinta.

UMNO Bahagian Ketereh menyedari bahawa perpecahan kalangan orang dan parti Melayu hanya akan mengundang musibah dan membawa kehancuran kepada semua pihak.

Kesatuan dan perpaduan yang kukuh amat penting untuk mendepani apa-apa cabaran termasuklah PRU-15 akan datang.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.