Polis lancar operasi khas kesan kesalahan berbasikal

2 JAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melancarkan operasi penguatkuasaan khas terhadap penunggang basikal di sekitar daerah Putrajaya mulai 9 hingga 10 Januari depan.

Sebagai permulaan, polis sedang menjalankan Operasi Khas Basikal bermula 1 hingga 3 Januari 2021 untuk tujuan advokasi, manakala, penguatkuasaan pula bermula pada 9 hingga 10 Januari 2021.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP Mohd Fadzil Ali berkata, tindakan itu perlu kerana jumlah kes kemalangan jalan raya membabitkan penunggang basikal terus meningkat kepada 11 kes, tahun lalu, termasuk satu menyebabkan kematian.

“Polis ingin menegaskan aktiviti berbasikal pada waktu dan tempat yang sesuai adalah sangat penting bagi mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.

“Ciri-ciri keselamatan basikal termasuklah lampu hadapan yang seharusnya dilengkapi dengan brek serta loceng bagi membolehkan penunggang basikal menunjukkan kehadiran kepada pengguna jalan raya yang lain juga perlu dipandang serius,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata penunggang basikal yang melanggar undang-undang boleh dihukum mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

“Penunggang basikal yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 54(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu, Seksyen 79(2) akta sama kerana gagal mematuhi papan tanda lalu lintas dan Seksyen 112(3) akta sama kerana melakukan mana-mana kesalahan berbasikal.

“Selain itu, penunggang basikal juga boleh diambil tindakan mengikut Kaedah 35 Kaedah – Kaedah Lalu Lintas 1959 kerana tidak memasang lampu pada basikal dan Kaedah – Kaedah 42 kerana tiada ciri keselamatan seperti brek dan loceng di mana hukuman tersebut adalah tidak boleh dikompaun,” katanya.

Berikutan itu polis menasihatkan penunggang basikal agar mematuhi undang – undang dan peraturan-peraturan lalulintas jalan raya demi menjaga keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.