Penerjun BASE maut, polis minta penjelasan PPj

223

2 DIS: Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) perlu memberikan penjelasan kepada polis berhubung insiden seorang penerjun BASE maut ketika menjalani latihan sukan lasak terbabit di Putrajaya, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali berkata, latihan untuk persediaan sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari depan itu tidak dimaklumkan kepada pihaknya terlebih dahulu oleh PPj mahupun pemilik bangunan terbabit.

Beliaul berkata, walaupun pihak berkenaan tidak perlu meminta kebenaran untuk melakukan latihan berkenaan, pemakluman kepada pihak polis membolehkan pihaknya mengambil langkah sewajarnya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Ini kerana apabila mana-mana pihak menjalankan aktivti terjunan, mereka mungkin boleh terjatuh di atas jalan. Jika pihak kami dimaklumkan, saya boleh mengarahkan unit trafik membuat kawalan keselamatan.

“Bagaimanapun, apabila mereka tidak memaklumkan kepada kami dan jika berlaku sesuatu, tiada apa yang boleh kami lakukan.

“Justeru, kami akan meminta pihak terbabit untuk memberikan penjelasan berhubung perkara berkenaan biarpun kes kematian mangsa diklafikasikan sebagai mati mengejut,” katanya pemberita ketika menjalankan Operasi Khas Basikal, di Dataran Putrajaya, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat PPj, Tengku Aina Tengku Ismail Shah, dalam satu kenyataan menjelaskan latihan terjun BASE membabitkan lapan penerjun berkenaan diadakan pada 1 hingga 3 Januari ini sebagai persiapan menjelang pertandingan Putrajaya Base Jump 2021 (PBJ2021) sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan, pada 1 Februari ini.

“Kejadian berlaku sekitar jam 5.35 petang dan semua aspek keselamatan termasuk faktor cuaca sudah diambil kira. Penanda arah angin diletakkan di atas bangunan dan kawasan pendaratan.

“Hasil penelitian kepada arah dan kekuatan angin menunjukkan keadaan adalah selamat untuk melakukan terjunan. Sesi latihan ini mendapat kebenaran penggunaan ruang daripada pengurus bangunan terbabit serta PPj selaku penganjur dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Pasukan SMART Team juga dimaklumkan serta berada di lokasi latihan sebagai pasukan teknikal dan penyelamat,” katanya.

Tengku Aina berkata, penerjun yang maut, Azuan Taharudin, 49, pula penerjun terakhir daripada lima penerjun pada ketika itu dan ketika terjunan dilakukan, payung digunakannya terbuka serta secara tiba-tiba kelihatan hilang kawalan lalu menyebabkan mangsa terlanggar cermin bangunan beberapa kali sebelum terjatuh di tempat kejadian.

Beliau berkata, Azuan mempunyai pengalaman lebih daripada 18 tahun dalam sukan payung terjun dan 12 tahun dalam sukan BASE jumpa serta sudah melakukan 500 kali terjunan dari kapal dan lebih 300 kali terjunan base.

“Mangsa sering melibatkan diri dalam acara terjunan di Putrajaya seperti Terjunan Kibaran Jalur Gemilang ke-62, Terjunan Jubli Perak 25 tahun Putrajaya, Putrajaya International Hot Air Balloon dan Putrajaya BASE Jump 2020.

“Perbadanan Putrajaya mengucapkan takziah kepada keluarga arwah Azuan Taharudin,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.