PAS tolak pakatan baharu, tetap bersama MN dan PN

134

2 DIS: PAS menolak sebarang usaha membentuk pakatan baharu dengan pelbagai jenama kerana Muafakat Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) baru sahaja ditubuhkan.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, ibarat menyemai benih, mustahil tanam sekarang tanaman terus hidup dengan subur.

“Kita baru menubuhkan MN dan PN, laksana menanam benih yang baru tumbuh dengan subur.

“Maka cadangan lain adalah tumbuhan liar yang mesti dihapuskan atau makhluk perosak yang wajib dimusnahkan,” katanya dalam hantaran Facebook rasminya, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, PAS berpandangan perpaduan sedia ada yang terbentuk menerusi MN diasaskan parti itu dan UMNO wajar dipertahankan.

“MN terbuka kepada mana-mana pihak yang ingin bekerjasama termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang dijemput selepas itu.

“Ini diikuti penubuhan Perikatan Nasional (PN) yang menggabungkan parti di Malaysia,” katanya.

Abdul Hadi berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) berasaskan piagam yang dimeterai secara persefahaman sebelum diperkemaskan secara berperingkat, berasaskan konsep Islam agama Persekutuan yang termaktub dalam Perlembagaan.

Melalui PN, katanya, acuan Islam ingin dikembalikan semula selepas sekian lama dilupakan.

“Jangan jadi Melayu yang mudah lupa kerana meninggalkan Islam, jadilah Melayu Islam yang sempurna dengan aqidah, syariat, akhlak dan integriti bersama kaum dan penganut pelbagai agama berkonsepkan adil kepada semua dalam masyarakat majmuk.

“Acuan perpaduan inilah yang boleh menegakkan umat yang selamat di dunia dan akhirat. Maka adalah haram kita memilih acuan akal manusia yang sempit sekadar menyelamatkan diri, puak dan kedudukan masing-masing, bukannya berwadahkan umat yang besar dan wawasan yang jauh daripada dunia sehingga akhirat,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.