623 individu diberkas berhibur sambut Tahun Baharu

2 JAN: Seramai 623 individu ditahan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan memasuki pusat hiburan pada hari pertama 2021, semalam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismai Sabri Yaakob, berkata mereka adalah sebahagian daripada 1,388 individu ditahan kerana melanggar PKP termasuk 1,352 dikompaun, 32 direman dan 4 dijamin dalam operasi pematuhan oleh Task Force diketuai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Semalam, PDRM telah menahan 1,388 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP. Daripada jumlah itu, 1,352 telah dikenakan kompaun manakala 32 direman dan empat dijamin.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti pusat hiburan (623), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (424), tidak memakai pelitup muka (137), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (118) dan lain-lain (86),” katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Ismail Sabri Yaakob
ISMAIL SABRI YAAKOB

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata pihak berkuasa juga menahan 95 pendatang tanpa izin (PATI) dalam Op Benteng di seluruh negara, semalam.

Ismail Sabri berkata seramai 96,312 individu telah pulang ke tanah air dari 36 negara melalui pintu masuk sempadan antarabangsa, sejak 24 Julai 2020 sehingga 1 Januari 2021.

Beliau berkata kesemua telah ditempatkan di 76 Hotel dan 16 institut latihan awam (ILA) dan institut pengajian swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah, Labuan dan Melaka.

“Daripada jumlah itu, seramai 7,547 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 540 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan dengan 88,225 individu telah dibenarkan pulang,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.