Zeti mesti cuti hingga siasatan skandal selesai

1,011

1 JAN: Pergerakan Pemuda UMNO mencadangkan agar Tan Sri Zeti Akhtar Aziz berehat atau mengambil cuti dari jawatannya sebagai Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Ketuanya , Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, bekas Gabenor Bank Negara (BNM) itu perlu berbuat demikian sehingga siasatan berhubung dakwaan beliau dan ahli keluarganya ada menerima sejumlah wang dari ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low berkaitan kes 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Zeti wajar berehat atau mengambil ‘garden leave’ sementara siasatan dijalankan oleh pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta mengelakkan tercetusnya krisis keyakinan dan kepercayaan dalam pasaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, PDRM dan SPRM pula perlu memberikan tumpuan khusus bagi menyiasat dakwaan berkenaan secara terperinci kerana pendedahan berkenaan membabitkan soal integriti dan kredibeliti individu yang memegang jawatan tertinggi dalam BNM, sebelum ini.

“Pemuda UMNO mahu pendedahan yang melibatkan soal integriti dalam kalangan penjawat jawatan tertinggi di institusi kewangan tertinggi di Malaysia diberikan perhatian serius dan diambil tindakan segera.

“Rakyat Malaysia pastinya mahukan kebenaran didedahkan dalam usaha kita membersihkan semula nama negara tercinta ini di mata dunia,” katanya yang mengesahkan bahawa Pemuda UMNO sudah membuat laporan polis pada hari Rabu lalu mengenai penglibatan bekas Gabenor Bank Negara berkenaan yang disyaki terlibat dengan kes 1MDB.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata terdapat keraguan yang membimbangkan berkenaan pendedahan mengenai penglibatan tiga orang lagi individu bernama, Datuk Dr Tawfiq Ayman, Alif Ayman Aziz Tawfiq Ayman dan Abdul Aziz Tawfiq Ayman yang dilaporkan sebagai suami dan anak-anak kepada Zeti.

“Menurut laporan portal berkenaan sebuah syarikat Iron Rhapsody juga didakwa dimiliki oleh suami dan anak Tan Sri Zeti Aziz dan syarikat ini menerima wang berjumlah USD 16,219,409.23 daripada entiti yang mempunyai pendaftaran di bawah nama Jho Low.

“Laporan itu, juga menyebut Zeti dan Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah telah berjumpa dengan Jho Low beberapa kali dan mereka mempunyai maklumat mengenai bayaran yang telah diterima oleh suami dan anak-anak Zeti,” katanya.

Justeru, Asyraf Wajdi memberitahu, Pemuda UMNO khuatir kerana sehingga hari ini, tidak pernah ada sebarang kaitan atau siasatan terperinci dan tindakan undang-undang yang telah dikenakan terhadap individu-individu penting di BNM berkenaan salah guna dana 1MDB.

“Terdapat beberapa persoalan yang perlu dirungkaikan dalam senario terkini dalam skandal 1MDB ini, antaranya pertama adakah benar transaksi-transaksi yang melibatkan ahli keluarga Zeti, Gabenor BNM pada ketika itu berkait dengan 1MDB atau Jho Low?

“Kedua, apakah kaitan di antara Jho Low dan Datuk Dr Tawfiq Ayman? Ketiga mengapakah Zeti yang merupakan antara individu yang bertanggungjawab melibatkan transaksi besar dalam dan luar negara kini berdiam diri mengenai dakwaan ini,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.