Tanpa Tun M pun, DAP boleh menang banyak kerusi

1 JAN: DAP mendabik dada menyatakan bahawa parti itu boleh memenangi lebih daripada 18 kerusi Parlimen tanpa bantuan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, Ahli Parlimen Langkawi tersebut sepatutnya mengkaji sejarah pilihan raya umum di negara ini terlebih dahulu.

“Kenyataan Dr Mahathir yang mengatakan DAP tidak akan memenangi lebih daripada 18 kerusi Parlimen tanpa bantuannya adalah salah.

“DAP pernah memenangi 24 kerusi pada tahun 1986, 20 kerusi pada tahun 1990, 28 kerusi pada tahun 2008 dan 38 kerusi pada tahun 2013, sebelum memenangi 42 kerusi pada tahun 2018,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kit Siang berkata demikian mengulas kenyataan Dr Mahathir dalam temu bual dengan akhbar berbahasa Mandarin baru-baru ini yang menyatakan bahawa DAP yang tidak mampu memenangi lebih daripada 18 kerusi Parlimen.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Airku (Pejuang) itu juga berkata, DAP berjaya memenangi 42 kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kerana sokongan orang Melayu yang dibawa beliau.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.